Wednesday, March 28, 2012

KasihMU I



Buku Seven Habits of Highly Effective People yang digenggam erat sudah terlepas dari tangan. Mata hampir-hampir terkatup. Mengantuknya, getus hati kecil Sarah. Jam di dinding menunjukkan pukul 8.00 pagi. Masih awal lagi. Sarah bangun merenggangkan lenguh-lenguh badan gara-gara sejam berteleku terperuk di satu sudut biliknya yang sempit itu. Buku diletakkan di atas meja jepun bersebelahan dengan katil. Matanya meliar sekitar bilik, kalau-kalau ada benda yang mencacatkan pandangan. Sarah pantang sekali kalau biliknya itu dibiar bersepah dan tidak berkemas.

Selesai membetulkan cadar yang sedikit comot, dia melangkah ke bilik air untuk berwuduk seterusnya solat Dhuha. Solat Dhuha menjadi antara amalan harian yang diamalkan oleh Sarah semenjak 2 tahun kebelakangan ini. Dia teringat pertemuannya dengan seorang wanita muda di stesen bas 2 tahun lalu.

"Adik ni nak ke mana?" tegur wanita muda disebelahnya yang sejak tadi memandangnya. Mungkin berminat dengan dia.

"erk, oh saya tengah tunggu kawan tapi dari tadi tak nampak batang hidungnya lagi." balas Sarah dalam keadaan agak terkejut dengan teguran wanita itu. Sejak tadi hanya benda-benda yang buruk sahaja muncul di fikirannya tentang wanita itu. Astaghfirullahal 'azim.
Teguran mesra wanita itu membawa kepada perbualan yang semakin rancak antara dia dan wanita itu.

"Akak, saya nak tanya sikit boleh?" tanya Sarah malu-malu.

" Ish kenapa pulak tak boleh tanya . Kalau akak boleh jawab, akak jawab. Kalau tak boleh jawab no komen akak jawab." jawab wanita itu dalam nada bergurau. Wanita itu tidak pernah tidak menitipkan senyuman di bibirnya setiap saat. Sarah terpesona dengan wajah yang sungguh ceria dan sentiasa dihiasi dengan senyuman manis. Alangkah bahagia seorang suami melihat wajah isterinya yang umpama sekuntum mawar mekar. Subhanallah.

" Tadi akak kata umur akak 35 tahun kan. Tapi muka akak nampak lagi muda daripada usia akak yang sebenar. Akak ada apa-apa rahsia ke untuk kekal awet muda. Kot-kot la ada makan supplement ke, apa ke?" Sarah lancar sekali melontarkan persoalan yang terbuku dalam hati sejak tadi lagi.

" Ye ke? Akak tak ada apa-apa rahsia la. Akak tak de la pulak ambik apa-apa supplement atau ubat-ubat tambahan. Ni semua kurniaan daripada Allah. Alhamdulillah." jawab wanita jujur.

" Betul akak tak ada apa-apa petua? MasyaALLAH. Subhanallah." Sarah kagum. Sungguh Allah itu Maha Hebat. Manusia dicipta dengan begitu sempurna. Allah berfirman dalan Surah At-Tin yang bermaksud, 

"Sungguh Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." (95:4)

" Cuma akak nasihatkan adik untuk istiqamah buat solat Dhuha. InsyaALLAH banyak fadilatnya, untuk murah rezeki, kesenangan hidup dan banyak lagi." balas wanita itu lagi.

Kringggg.Kringggg.Lamunan Sarah terhenti. Jam loceng di atas meja belajarnya berbunyi nyaring tanda sudah 10 minit berlalu. Sarah masih tercegat di depan bilik air. Sejuk pagi yang mencengkam hampir-hampir melumpuhkan niatnya untuk berwuduk. Tambahan pula, pemanas air sudah 2 minggu rosak dan masih belum sempat untuk dibaiki.

Sarah segera berwuduk dan menunaikan solat Dhuha. Usai solat, dia mencapai Al-Quran di rak buku dan terus membacanya sambil meneliti maksud ayat yang dibacanya. Surah Al-Kahfi menjadi pilihan Sarah bersempena dengan hari Jumaat yang penuh barakah itu. Surah Al-Kahfi antara sunnah yang Nabi Muhammad amalkan pada penghulu segala hari ( Sayyidul Ayyam) selain amalan-amalan yang lain.

Suara merdu Sarah mengalun ayat-ayat suci Al-Quran memecah kesunyian Beit Raudhatul Sakinah. 3 orang ahli rumah Sarah bermalam di rumah sahabat-sahabat yang lain. Kirah, junior yang satu-satunya tinggal bersama mereka pula masih berselimut di dalam bilik, masih penat gara-gara program batchnya yang habis lewat malam tadi.

Sedang Sarah menghabiskan ayat terakhir Surah Al-Kahfi, telefon bimbit Samsungnya berbunyi, tanda ada panggilan masuk. Nama Ummu Umair tertera di skrin telefonnya itu.
Tidak semena-mena jantung Sarah berdegup kencang.....

bersambung..............