Sunday, January 27, 2013

KiTA mAHU vs ALLAH taHu




KISAH 1

Dulu waktu sekolah rendah keputusan UPSR Alhamdulillah dapat 4A 1B. Walaupun tidaklah penuh A tetapi itulah keputusan terbaik untuk pencapaian sekolah itu. Al-maklumlah sekolah kampung, fasiliti tidaklah seberapa tambah pula dulu memang malas belajar sikit. Ada 5 lagi kawan saya yang dapat keputusan yang sama. Waktu dapat keputusan tu nangis juga sebab ingatkan dapat lebih lagi. Walaupun dapat 4A 1B, kami 6 orang mencuba nasib untuk memohon masuk ke sekolah agama. Kalau dekat Kedah ada 4 sekolah agama yang terkenal SMKA Sik, SMKA Yan, SMKA Baling dan SMKA Kedah. Hati memang berbunga-bunga sangat berharap la dapat masuk sekolah agama.

Tup-tup daripada 6 orang kami 2 orang saja dapat sekolah agama, seorang dapat Kolej Sultan Abdul Hamid dan selebihnya tak dapat mana-mana melainkan pilihannya adalah masuk sekolah menengah harian biasa. Sayalah orang yang tak dapat ke mana-mana. Sedih memang sedih sebab saya harap sangat dapat masuk sekolah agama. Jadi saya masuk je la SMK Sik. Tetapi ALLAH itu Maha Hebat kan perancanganNYA? Waktu PMR saya dapat 9A (ambik aliran agama) dan dapat tawaran ke SBPI Kubang Pasu. Berat nak pindah sekolah sebab SBPIKP sangat baru dan saya tak tahu setakat mana pencapaian akademik sekolah serta saya tak pernah duduk asrama sebelum ni. Pertama kali dalam hidup kena berjauhan dengan keluarga dan duduk asrama.

Ayah tanya kawan-kawan dia pasal sekolah tu dan pujuk saya untuk pergi atas nasihat kawan-kawan dia. Memang sepanjang perjalanan selama 2 jam airmata tak boleh nak sekat dari tak keluar. Murah benor dengan airmata. Penat lacrimal gland keluarkan airmata selama 2 jam tu. Selepas itu ALLAH mudahkan perjalanan akademik saya sampailah dapat datang ke Mesir. Alhamdulillah.

KISAH 2

Waktu tingkatan 4 dan 5, saya memasang angan-angan untuk sambung belajar dekat Jordan hasil dakyah Ustaz Bahasa Arab saya yang lulusan dari Jordan. Berkobar-kobar semangat untuk pergi belajar dekat sana sampaikan waktu temuduga JPA saya ditanya negara mana yang menjadi pilihan saya untuk sambung belajar. Saya apa lagi terus jawab Jordan dengan penuh keyakinan dan harapan.

Bila keputusan temuduga keluar, saya dapat Mesir bukan Jordan seperti yang diidam-idamkan. Kecewa? Sedikit kecewa tetapi terima dengan pasrah. Kalau tak terima biasiswa tu saya nak belajar macam mana. Mak ayah bukan ada duit sangat. Alhamdulillah Allah murahkan rezeki saya dari sekolah menengah sampai sekarang dapat biasiswa. Datang la Mesir setelah ayah bagi syarat kena ada kawan yang dia kenal sekali pergi Mesir tu. Nasib baik ada Azfa walaupun kalau tak dak kawan tetapi pujuk dia elok-elok ayah bagi ja.

Ini kisah saya dan saya pasti ramai lagi yang mempunyai kisah yang hampir serupa dengan saya. Banyak benda dalam hidup ini sebenarnya terjadi bukan kehendak kita. Kita mahu A tetapi ALLAH bagi B. Saya mahu ke Jordan tetapi ALLAH gantikan dengan Mesir. Ada orang mahukan kawan yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya tetapi Allah hadiahkan kawan yang sebaliknya. Ada orang mahu sambung belajar dalam bidang kejuruteraan tetapi dapat tawaran buat perubatan. Ada orang mahu berkahwin di usia muda tetapi ALLAH lambatkan jodohnya sedikit dan sebagainya.

Perkara ini seringkali berlaku dalam hidup lantas kita mendongak ke langit dan bertanya kepada ALLAH, " Ya ALLAH mengapa ENGKAU berikan sesuatu kepadaku bukan berdasarkan apa yang aku mahu dan suka?". Persoalan itu sering berlegar dalam fikiran kita dan tatkala iman kita lemah kita boleh sampai satu tahap mempertikaikan takdir ALLAH terhadap kita. Na'uzubillah. Terutama apabila kita mengimpikan pelangi kebahagiaan yang berterusan dalam hidup tetapi Allah hadirkan kepada kita hujan ujian yang maha dahsyat.

Pernah tak kita dengar firman ALLAH yang bebunyi, " ... Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
( Al-Baqarah 216).

Apabila kita berpegang dengan ayat di atas, hati kita akan terpujuk, bertambah redha dan yakin bahawa sesungguhnya setiap sesuatu yang Allah tentukan ke atas kita adalah sesuatu yang TERBAIK sesuai dengan KEPERLUAN bukan KEMAHUAN kita.

Sungguh ALLAH itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.......Allahu Akhbar!!!


Monday, January 21, 2013

PeNGeMiS

Hakikatnya dakwah itu tidak ada sempadan dan garis masa. Semoga ALLAH terus kuatkan fizikal dan mental diri ini untuk terus mencoretkan sedikit pengisian untuk diri sendiri dan orang yang membaca..
 


Kisah diceritakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal.
Seorang ibu meninggalkan anak lelaki di satu tempat buat seketika kerana dia ingin meninjau tempat yang lebih teduh untuk memberi makan anaknya itu dengan sebuku roti.
Sewaktu dia sedang meninjau keadaan sekitar, seorang penculik datang dan menculik anaknya itu untuk dijual dan dijadikan hamba.
Alangkah terkejut dan sedih wanita tersebut apabila dia kembali semula ke tempat anaknya ditinggalkan kerana anak sudah tiada di tempat itu.
Sungguh ibu mana yang sanggup kehilangan anak yang dia kandung selama 9 bulan 10 hari dan ditatang dengan penuh kasih sayang sejak dari kecil. Menangis kepiluan ibu itu.
Sedang ibu itu menangis, datang seorang pengemis datang kepada ibu tersebut meminta sesuap makanan untuk mengalas perutnya yang kosong.
Walaupun ibu itu dalam keadaan sedih atas kehilangan anaknya tapi dia tidak teragak-agak memberikan sebuku roti yang sepatutnya untuk anaknya makan kepada pengemis tersebut. Sungguh mulia hati ibu itu, dia tetap memberi kala kesedihan.
Beberapa minit selepas itu, penculik itu kembali semula ke tempat ibu tadi bersama anak kecil yang diculiknya.
Penculik itu lantas berkata,"Semasa aku cuba menjual anak ini, aku terdengar suara asing yang berbisik kepadaku dengan berkata,' Adakah kau juga mempunyai anak seperti ini? Tidakkah kau takut jika anakmu juga akan mengalami nasib yang sama seperti anak ini?' Sebab itulah aku datang semula ke sini, mengembalikan anakmu ini".
Ibu itu terus memeluk anaknya dan berkata,"Syukur pada ALLAH yang menerima sebuku roti milikku (sedekah) sebentar tadi"

Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima...

-dipetikdarisebuahbuku-

Thursday, January 17, 2013

KasihMU III






" Assalamualaikum umi."

" Waalaikumussalam Sarah. Ya Allah lamanya umi tak dengar suara Sarah. Sarah sihat ka?"

" Alhamdulillah Sarah sihat, umi. Umi kat sana sihat tak? Umi, Sarah minta maaf sebab lama tak telefon umi."

" Umi sihat ja Sarah. Alhamdulillah. Sakit pening gitulah Sarah. Biasa la orang tua kan. Sarah sibuk ke sekarang? Kuliah kat sana ok tak?"

" Alhamdulillah umi. Semuanya ok ja. Sarah je yang bermasalah, tak pandai nak susun masa betul-betul. Cuma sekarang ni Sarah sibuk sikit sebab kena uruskan program hujung minggu ni. Umi, doakan Sarah tau."

" InsyaALLAH umi sentiasa mendoakan anak kesayangan umi ni. Sibuk-sibuk tu jangan lalaikan solat. Solat kena jaga betul-betul, jangan buat dekat akhir-akhir waktu."

" InsyaALLAH umi. Tapi umi kena doakan Sarah tau supaya Sarah sentiasa istiqamah dengan amalan kebaikan. Pesanan umi InsyaALLAH sentiasa dalam hati Sarah. Sarah dah simpan elok-elok kat dalam hati Sarah. Umi, Sarah ada satu cerita untuk umi ni. Umi nak dengar tak?"

Hampir sejam Sarah berbual dengan uminya petang tersebut. Sebagai anak bongsu Sarah sangat rapat dengan umi. Dia sangat suka bercerita segala perkara kepada uminya. Sejak kematian ayahnya 7 tahun lalu, Sarah telah banyak berubah. Daripada seorang anak gadis yang nakal dan lincah serta banyak melakukan masalah, dia kini sudah berubah 100%, menjadi gadis yang lebih baik dan aktif dalam aktiviti di kampusnya.

Menjadi anak yatim mengajar Sarah tentang erti sebuah pengorbanan. Umi, wanita cekal dan kental banyak berkorban untuk membesarkan dia dan 3 abangnya sejak kematian ayah. Dulu semasa ayah masih ada, umi cuma surirumah sepenuh masa. Tetapi hidup umi berubah secara mendadak selepas kematian ayah kerana umi terpaksa berhempas pulas mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak. Alhamdulillah semua anak-anak umi berjaya dan Allah telah memurahkan rezeki mereka kerana semua anak umi mendapat biasiswa untuk menanggung pelajaran mereka ke luar negara.

Safuan, anak sulung umi baru sahaja menamatkan pengajian masternya di Amerika Syarikat sebulan yang lalu, Syahrul anak kedua pula sudah pun bekerja sebagai arkitek di ibu kota setahun yang lalu selepas tamat belajar di United Kingdom, Shahizan anak ketiganya masih menuntut di Ireland dalam jurusan perubatan dan Sarah anak bongsu pula berada di Mesir dalam bidang yang sama. Tiada perkara yang menggembirkan hati umi melainkan melihat anak-anaknya berjaya dalam bidang masing-masing serta menjadi anak yang soleh dan solehah. Itulah doa yang seringkali umi panjatkan kepada Allah setiap kali selepas solat. Anak yang soleh dan solehah itulah harta yang sangat berharga buat umi dan arwah ayah kerana merekalah yang akan membantu umi dan ayah di akhirat kelak.

.........................................................................................................

Sejadah dilipat kemas lalu diletakkan di rak yang telah disediakan dalam bilik tersebut. Al Quran dicapai dari rak buku lalu dibuka. Dingin pagi terasa menusuk ke tulang sum-sum. Lunak suara Sarah mengalunkan kalamullah memecah kesunyian pagi yang hening. Usai solat subuh berjemaah bersama ahli rumahnya Sarah meluangkan sedikit masa membaca Al Quran dan terjemahannya. Surah Al-Furqan menjadi pilihan Sarah pagi itu. Sarah sangat tertarik dengan surah ini kerana dalamnya ada dinyatakan bagaimana ciri-ciri ibadurrahman (hamba Allah Yang Maha Pengasih).

Sarah teringat pesanan Syeikh Yusuf yang mengalakkan mereka yang hadir ke kelas beliau untuk menghayati ciri-ciri ibadurrahman yang ada dalam Surah Al-Furqan dari ayat 63 sehingga 74. Antara ciri-ciri yang disebut oleh Allah dalam surah ini ialah:
1)  Orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang bodoh menyapa mereka dengan kata-kata yang menghinakan mereka akan mengucapkan, " Salam."
2)  Orang yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada Tuhan mereka dengan bersujud dan berdiri.
3)  Orang yang berkata (berdoa), "Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab jahanam dari kami kerana sesungguhnya azabnya itu membuat kebinasaan yang kekal."
4)  Orang yang menginfakkan harta, mereka tidak berlebihan dan tidak pula kikir, di antara keduanya secara wajar.
5)  Orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan lain, tidak membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar dan tidak berzina.
6)   Orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan kebaikan.
7)  Orang yang tidak memberikan kesaksian palsu dan apabila bertemu dengan orang yang melakukan perbuatan tidak berfaedah meraka berlalu dengan menjaga kehormatan dirinya.
8)  Orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidak bersikap sebagai orang yang tuli dan buta.
9)  Orang yang berdoa, " Ya Tuhan kami anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa."

Selepas menghayati terjemahan Surah Al-Furqan dan selesai mengemaskan diri, Sarah menuju ke dapur untuk menyiapkan sarapan pagi untuk ahli rumahnya memandangkan pagi itu kuliahnya bermula agak lambat sedikit. Jadi apa salahnya masa sedikit sebelum kelas bermula diperuntukkan untuk menyediakan sarapan ala kadar untuk santapan bersama-sama ahli rumahnya yang lain.