Sunday, January 27, 2013

KiTA mAHU vs ALLAH taHu




KISAH 1

Dulu waktu sekolah rendah keputusan UPSR Alhamdulillah dapat 4A 1B. Walaupun tidaklah penuh A tetapi itulah keputusan terbaik untuk pencapaian sekolah itu. Al-maklumlah sekolah kampung, fasiliti tidaklah seberapa tambah pula dulu memang malas belajar sikit. Ada 5 lagi kawan saya yang dapat keputusan yang sama. Waktu dapat keputusan tu nangis juga sebab ingatkan dapat lebih lagi. Walaupun dapat 4A 1B, kami 6 orang mencuba nasib untuk memohon masuk ke sekolah agama. Kalau dekat Kedah ada 4 sekolah agama yang terkenal SMKA Sik, SMKA Yan, SMKA Baling dan SMKA Kedah. Hati memang berbunga-bunga sangat berharap la dapat masuk sekolah agama.

Tup-tup daripada 6 orang kami 2 orang saja dapat sekolah agama, seorang dapat Kolej Sultan Abdul Hamid dan selebihnya tak dapat mana-mana melainkan pilihannya adalah masuk sekolah menengah harian biasa. Sayalah orang yang tak dapat ke mana-mana. Sedih memang sedih sebab saya harap sangat dapat masuk sekolah agama. Jadi saya masuk je la SMK Sik. Tetapi ALLAH itu Maha Hebat kan perancanganNYA? Waktu PMR saya dapat 9A (ambik aliran agama) dan dapat tawaran ke SBPI Kubang Pasu. Berat nak pindah sekolah sebab SBPIKP sangat baru dan saya tak tahu setakat mana pencapaian akademik sekolah serta saya tak pernah duduk asrama sebelum ni. Pertama kali dalam hidup kena berjauhan dengan keluarga dan duduk asrama.

Ayah tanya kawan-kawan dia pasal sekolah tu dan pujuk saya untuk pergi atas nasihat kawan-kawan dia. Memang sepanjang perjalanan selama 2 jam airmata tak boleh nak sekat dari tak keluar. Murah benor dengan airmata. Penat lacrimal gland keluarkan airmata selama 2 jam tu. Selepas itu ALLAH mudahkan perjalanan akademik saya sampailah dapat datang ke Mesir. Alhamdulillah.

KISAH 2

Waktu tingkatan 4 dan 5, saya memasang angan-angan untuk sambung belajar dekat Jordan hasil dakyah Ustaz Bahasa Arab saya yang lulusan dari Jordan. Berkobar-kobar semangat untuk pergi belajar dekat sana sampaikan waktu temuduga JPA saya ditanya negara mana yang menjadi pilihan saya untuk sambung belajar. Saya apa lagi terus jawab Jordan dengan penuh keyakinan dan harapan.

Bila keputusan temuduga keluar, saya dapat Mesir bukan Jordan seperti yang diidam-idamkan. Kecewa? Sedikit kecewa tetapi terima dengan pasrah. Kalau tak terima biasiswa tu saya nak belajar macam mana. Mak ayah bukan ada duit sangat. Alhamdulillah Allah murahkan rezeki saya dari sekolah menengah sampai sekarang dapat biasiswa. Datang la Mesir setelah ayah bagi syarat kena ada kawan yang dia kenal sekali pergi Mesir tu. Nasib baik ada Azfa walaupun kalau tak dak kawan tetapi pujuk dia elok-elok ayah bagi ja.

Ini kisah saya dan saya pasti ramai lagi yang mempunyai kisah yang hampir serupa dengan saya. Banyak benda dalam hidup ini sebenarnya terjadi bukan kehendak kita. Kita mahu A tetapi ALLAH bagi B. Saya mahu ke Jordan tetapi ALLAH gantikan dengan Mesir. Ada orang mahukan kawan yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya tetapi Allah hadiahkan kawan yang sebaliknya. Ada orang mahu sambung belajar dalam bidang kejuruteraan tetapi dapat tawaran buat perubatan. Ada orang mahu berkahwin di usia muda tetapi ALLAH lambatkan jodohnya sedikit dan sebagainya.

Perkara ini seringkali berlaku dalam hidup lantas kita mendongak ke langit dan bertanya kepada ALLAH, " Ya ALLAH mengapa ENGKAU berikan sesuatu kepadaku bukan berdasarkan apa yang aku mahu dan suka?". Persoalan itu sering berlegar dalam fikiran kita dan tatkala iman kita lemah kita boleh sampai satu tahap mempertikaikan takdir ALLAH terhadap kita. Na'uzubillah. Terutama apabila kita mengimpikan pelangi kebahagiaan yang berterusan dalam hidup tetapi Allah hadirkan kepada kita hujan ujian yang maha dahsyat.

Pernah tak kita dengar firman ALLAH yang bebunyi, " ... Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
( Al-Baqarah 216).

Apabila kita berpegang dengan ayat di atas, hati kita akan terpujuk, bertambah redha dan yakin bahawa sesungguhnya setiap sesuatu yang Allah tentukan ke atas kita adalah sesuatu yang TERBAIK sesuai dengan KEPERLUAN bukan KEMAHUAN kita.

Sungguh ALLAH itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.......Allahu Akhbar!!!


No comments:

Post a Comment