Friday, August 27, 2010

Ramadan Kareem

Assalamualaikum w.b.t semua..
Macam mana ramadhan kalian pada tahun ini. Lebih baik dari tahun lepas atau sebaliknya? Harap-harapnya lebih baik dari tahun lepas dan akan terus bertambah baik sepanjang Ramadhan ini.
Alhamdulillah tahun ni Allah memberi kesempatan untuk aku merasai Ramadhan di bumi anbiya' ini. MasyaALLAH sungguh berbeza ramadhan di sini berbanding di Malaysia.. Sungguh! Aku suka ramadhan di sini. Madrasah Ramadhan di sini sangat meriah berbanding Malaysia.

Ombak Iskandariah yang membuatkan aku rindu untuk kembali ke sana

Semua orang berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan pada bulan barakah ini. Begitu juga di sini. Jika petang-petang anda keluar selepas asar pasti anda dapat melihat sesuatu yang menyeronokkan bagiku. Kalau petang biasanya terdapat kanak-kanak mahupun orang dewasa menunggu di tepi jalan raya menabur kurma untuk orang lalu di kawasan itu untuk berbuka puasa. MasyaALLAH aku tak pernah jumpa suasana sebegini di Malaysia. Mungkin kat tempat aku tak ada kot. Sewaktu perjalananku ke ARMA menaiki teksi untuk berbuka puasa di sana atasan pelawaan pihak tertentu, 2 kali kami diberi buah kurma sepanjang perjalanan. Kurma tersebut dibungkus di dalam plastik sebanyak 3-4 biji sebungkus. Kami juga diberi nasi arab oleh sekeluarga arab yang menunggu di simpang jalan untuk mengagihkan makanan tersebut tapi kami tak ambik pun, cuma pak cik teksi saja yang ambik nasi itu. Bibir pak cik teksi tak henti-henti mengucap syukur. Alhamdulillah rezeki di bulan puasa.

Di sini juga tuan rumah mahupun jiran arab suka menjemput pelajar Malaysia untuk berbuka puasa di rumah mereka. Dah la kalau suruh kita bukannya sikit-sikit. Selagi tak habis makanan yang sedikit punya banyak selagi itu la tak boleh balik.. Boleh pengsan kot makan banyak-banyak. Aku tak pernah diajak oleh mana-mana jiran arab mahupun tuan rumah sendiri tapi hanya mendengar cerita sahabat-sahabat sahaja. Lebih baik rasanya kalau aku tak dijemput.haha Buat penat diorang masak ja bukan aku makan pun.haha

Sewaktu di Iskandariah selama beberapa hari aku disajikan dengan pemandangan yang mengasyikkan. MasyaALLAH..Petang hari kedua di sana, aku keluar bersama seorang senior untuk berbuka puasa di rumah senior yang lain. Tapi malang kami terpaksa berpusing-pusing di kawasan berhampiran dengan rumah seniorku kerana rumahnya tidak kami ketemui. Senang kata KAMI SESAT. Cuak jugak sebab dah nak dekat buka puasa. Sedang kami jalan-jalan cari rumah seorang kanak-kanak, dalam umur 10 tahun datang menghulurkan kurma badam kepada kami. Aku menolak pada awalnya tapi bapanya yang ada sekali disitu menyuruh anaknya menghulurkan kurma tersebut lagi sekali kepadaku. Akhirnya aku ambil jugak walaupun pada awalnya aku jual mahal. Nasib baik aku ambil kurma tersebut kerana aku sampai di rumah senior pun dah masuk waktu berbuka. Mula berbuka dengan kurma tersebut la. SEDAP! MasyaALLAH aku kagum dengan bapa tersebut yang melatih anaknya melakukan kebaikan walaupun hanya sekadar memberi kurma kepada orang yang berpuasa.Aku lihat suasana seumpama ini ada di Malaysia yakni sewaktu hendak berbuka puasa pasti mak menyuruh anak-anaknya menghantar juadah berbuka puasa seperti kuih kepada jiran-jiran. Selalunya suasana sebegini dapat dilihat di kampung-kampung sahaja dan semakin lama semakin pupus ditelan zaman.

Pemandangan yang sama aku lalui semasa berbuka di dalam keretapi untuk ke Iskandariah. Memandangkan kami mula bertolak dari Kaherah dalam pukul 4 petang jadi hari itu kami terpaksa berbuka puasa di dalam keretapi sahaja. Sebelum masuk waktu berbuka, seorang lelaki masuk ke gerabak yang kami naiki menghulurkan kurma kepada setiap orang di dalam gerabak tersebut. Aku kagum.. MasyaALLAH mesti banyak pahala yang mereka dapat kan. ALLAH pun dah janjikan ganjaran yang sangat besar kepada orang yang menyediakan makanan kepada orang  yang berpuasa. MasyaALLAH...

Tarawih di sini best.. Walaupun hanya 8 rakaat tak seperti Malaysia tapi sangat best terutama sembahyang kat Masjid Ibrahim di Iskandariah. Setiap malam imam akan menghabiskan 1 juzuk Al-Quran untuk 8 rakaat tersebut termasuk sembahyang Isyak. Setiap 4 rakaat akan diselitkan dengan tazkirah. Pertama kali aku solat di masjid tersebut, tazkirah yang diberikan dapat kufahami dengan baik. Mungkin disebabkan tazkirah tersebut disampaikan dalam bahasa Arab fushah.

Syeikh yang memberi tazkirah ada menyatakan dalam tazkirah bahawa orang Islam pada masa kini hanya berpuasa daripada makan dan minum sahaja. Sepatutnya kita sebagai orang Islam bukan sekadar berpuasa dari makan dan minum malah juga berpuasa daripada melakukan maksiat dan perkara-perkara yang dilarang oleh ALLAH dan RASUL. Kita dapat lihat pada masa kini orang Islam yang berpuasa tapi masih mengamalkan perkara-perkara maksiat dalam kehidupan. Masih bergelumang dengan rasuah, judi, penderaan kanak-kanak dan sebagainya. Dimanakah barakah Ramadhan itu? Tepuk dada tanya iman anda.
Pentazkirah juga mengajak semua umat Islam untuk membetulkan niat dalam melaksanakan ibadah dan amalan harian semata-mata kerana ALLAH taala, menjadikan Al-Quran dan As-sunnah sebagai panduan hidup. Niat kerana ALLAH taala bukan setakat dalam ibadah, bukan setakat amalan fizikal malah amalan hati kita. Masya ALLAH indahnya hidup andai ALLAH sentiasa ada dalam hati kita.

Selamat berpuasa semua. Manfaaatkan madrasah ramadhan kali ini. Mungkin tahun depan bukan rezeki kita. Sapa tahu. Hanya ALLAH yang tahu.

Sunday, August 15, 2010

Takdir oleh YANG SATU

08/08/10
Pagi itu aku sempat menelefon mak kat kampung untuk memberitahu tarikh sebenar aku akan pergi menunaikan umrah. Hatiku berbunga-bunga tak sabar untuk pergi. Mak berpesan supaya aku mendoakannya supaya dapat juga sampai ke tanah suci. Aku tak sempat bercakap dengan ayah kerana ayah sibuk menjemput orang untuk kenduri kesyukuran dan keberangkatan aku ke tanah suci. Aku hanya mengirimkan salam buat ayah yang tercinta.

Tengahari itu sempat juga aku membeli sedikit barang keperluan untuk ke sana. Selebihnya banyak barang aku pinjam  dari kawan-kawan yang pergi melangkah kaki ke sana.Terima kasih kawan-kawan..
Barang-barang di rumah kubawa ke rumah tumpangan aku petang itu tapi aku tak sempat untuk mengemas rumah yang macam tongkang pecah. Aku berjanji akan pulang semula ke rumah tersebut esok hari untuk mengemas sebelum aku melangkah kaki ke tanah suci.

Petang itu aku ke Hayyu Asyir untuk menghadiri Majlis Ramah Mesra dengan Menteri Besar Kedah. Semasa dalam perjalanan menaiki tramco aku mendapat panggilan daripada ustaz yang menguruskan pemergian aku ke tanah suci, menyuruhku bersiap-siap segera kerana aku perlu berada di Rumah Selangor sebelum jam 3 pagi. Aku tergamam.Aku terkejut.Aku hanya mampu menyiakan segala kata-kata ustaz itu. Tidak pula aku menyuruh pak cik tramco itu berhenti untuk aku patah balik ke Mounira. Aku hanya membiarkan tramco untuk terus membawaku ke Hayyu Asyir. Sampai di Hayyu Asyir aku sempat menjenguk Dataran Hayyu Asyir di mana majlis malam ini bakal berlangsung. Selepas memaklumkan ketidakhadiran aku pada petang itu kepada ajk yang bertugas aku terus pulang ke Mounira dengan menaiki bas dan metro. Penat juga berkejar-kejar macam ni.

Sampai di rumah tumpangan aku terus berkemas-kemas apa yang patut. Nasib baik tiada sangat barang nak dibeli kerana sudah dibeli tengahari itu. Kalut juga aku mencari siapa yang mahu ke Hayyu Asyir malam itu. Alhamdulillah ada kawan yang mahu ke Hayyu Asyir malam itu setelah aku pujuk untuk pergi selepas maghrib.

Malam itu aku sampai agak lambat di majlis ramah mesra tersebut tapi majlis itu dapat dihadiri sampai ke penghujungnya. Sesudah majlis itu aku sempat bersembang-sembang dengan beberapa orang senior. Aku juga mengkhabarkan pemergiaanku ke tanah suci esoknya setelah ditanya kenapa aku tak pulang ke Mounira malam itu.

09/08/10
Pagi itu kami seramai 47 orang berkumpul di Musolla Rumah Selangor pada pukul 3 pagi. Sepanjang malam aku tak tidur kerana aku pasti bila aku tidur nanti pasti susah nak bangun.hehe.Penat usah dikata. Tersenguk-senguk aku ketika menunggu ustaz memberi taklimat.
Pukul 5.30 pagi selepas subuh, kami bertolak ke Lapangan Terbang Assiut dengan menaiki bas. Sepanjang perjalanan aku tidur dengan lenanya di dalam bas tanpa kuhirau pemandangan sepanjang perjalanan. Lebih kurang pukul 12.30 tengahari kami sampai di lapangan terbang tersebut. Terkejut  juga aku melihat keadaan lapangan terbang tersebut yang aku kira stesen bas bukan lapangan terbang.
Maka bermulalah proses untuk mendapatkan tiket dan check-in..Semua ikhwah Alhamdulillah berjaya melepasi proses berkenaan. Kami akhawat menunggu dengan sabarnya. Aku terpinga-pinga dan tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku dan mengapa kami tidak dibenarkan check-in seperti orang lain.

Setelah hampir 2 jam barulah aku tahu rupa-rupanya mahram tumpangan aku dan 15 rakan yang lain tidak menyertai kami dalam trip tersebut. Mahram tumpangan kami dari trip yang berbeza. Pelik! Ustaz berusaha keras meminta juga pengawai bertugas melepaskan kami ke Jeddah tanpa mahram tumpangan. Masa semakin suntuk keadaan semakin genting. Kami hanya mampu berdoa tapi akhirnya harapan kami berkecai. Pengawai tersebut tetap tidak dapat membenarkan kami pergi kerana dia mendapatkan arahan dari Jeddah yang tidak membenarkan sesiapa pergi tanpa mahram bersama-sama.
Saat ustaz mengkhabarkan kegagalan untuk pergi, jelas terlukis kekecewaan di wajah sahabat-sahabatku yang lain. Sedih...Ketika ustaz mengucapkan selamat tinggal kepada kami sebelum dia bersiap-siap dengan pakaian ihram, aku tak dapat memandang ustaz yang berlalu pergi. Terlalu sedih..

Kami terpaksa pulang semula ke Kaherah. Sementara menunggu bas yang berpatah balik ke Assiut kami merempat di luar balai berlepas selama lebih 3 jam. Ada pengawai yang bertugas di situ memberikan kami minuman dan makanan. Mungkin kesian melihat kami semua walaupun sebelum ini dia yang tidak membenarkan kami menaiki kapal terbang. Dia sempat meminta maaf kepada kami atas apa yang berlaku kerana katanya dia hanya mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak Arab Saudi. Yang kelakarnya lepas dapat makanan semua orang bertenaga semula, siap boleh bergambar lagi. Petang itu masa dihabiskan dengan melihat pemandangan Assiut yang hanya padang pasir berdebu. Kering tekak tertelan pasir berterbangan ditiup angin.
Lebih kurang 7.30 petang bas sampai dan kami pon bertolak ke Kaherah tanpa ditemani oleh mana-mana ikhwah kecuali 2 orang pak cik bas. Sempat juga bas bergurau dengan kami dengan menyuruh kami semua kahwin baru boleh lepas.

10/08/10
Pukul 2.30 pagi kami sampai di Hayyu Asyir.
Seharian duduk berkurung di Rumah Terengganu menunggu keputusan sama ada kami masih berpeluang atau tidak untuk ke tanah suci. Peluang semakin tipis memandangkan mahram kami adalah orang Malaysia singgah di Mesir sebelum bertolak ke tanah suci pada 12/08. Ada juga mahram yang tidak dapat dikesan oleh ustaz sendiri. Kami terpaksa meng'google' sendiri untuk mencari siapa sebenarnya mahram tersebut. Rupa-rupanya terkenal juga mahram tersebut tetapi beliau sudah pun berada di tanah suci sejak awal Ogos lagi. Malam itu aku solat tarawih pertama di musolla rumah Terengganu. Musnah impian untuk bersolat tarawih di tanah suci.
Ramadhan yang tiba disambut dengan gembira walaupun hati sedikit tercalar. Aku cuba untuk bersikap positif, redha dan tabah dengan apa yang berlaku.

11/08/10
Hari pertama berpuasa di Mesir. Perasaan bercampur baur. Harapan semakin tipis. Aku sudah dapat menerima sepenuhnya berbanding hari sebelumnya.
Selepas tarawih diadakan perjumpaan bersama ustaz yang menguruskan kami di sini. Perbincangan tentang hal sebenarnya yang berlaku dan beberapa penyelesaian ditawarkan kepada kami. Barulah kutahu perkara sebenarnya berlaku. Rupa-rupanya trip kami dicampur oleh orang yang membuat visa di Malaysia dengan trip lain menyebabkan berlaku masalah mahram. Walaupun ustaz tidak bersetuju dengan percampuran tersebut tetapi orang yang buat visa itu tetap berkeras tanpa memikirkan masalah-masalah yang bakal berlaku pada masa akan datang.
Harapan untuk ke tanah suci hanya tinggal harapan. Kami beberapa pelajar perubatan terpaksa menarik diri memandang tawaran tarikh untuk ke umrah lagi bertindih dengan jadual pengajian yang padat.

12/08/10
Setelah wang sepatuh dikembalikan pagi itu, aku bergegas pulang ke rumah. Sehingga hari ini aku masih belum menghubungi mak dan ayah aku di kampung memaklumkan perkara ini. Teruk betul kan..Kesian  kat mak dan ayah yang sampai buat kenduri doa selamat sempena pemergianku ke tanah suci. Nasib baik kenduri itu ada 2 matlamat buka sekadar kenduri doa selamat tapi juga kenduri kesyukuran.

Peristiwa ini mengajar aku untuk bersedia menerima sebarang kegagalan dengan hati yang terbuka, sentiasa berlapang dada dan bersangka baik dengan ALLAH. Mungkin di sebaliknya ada sesuatu yang tidak tahu. Semuanya sudah dirancang oleh ALLAH.

Saturday, August 7, 2010

Coretan terakhir

Dua tiga hari kebelakangan ini aku sedikit sibuk menyelesaikan kerja-kerja yang berbaki dan menguruskan persiapan mengerjakan umrah. Jadi blog ini tak sempat diupdate.Atas permintaan sahabat aku gagahi diri untuk mencoret kalam-kalam terakhirku ini sebelum aku berangkat meninggalkan bumi Mesir ke tanah suci InsyaALLAH pada 10 Ogos ini.

Di kesempatan ini aku ingin memohon jutaan kemaafan kepada semua insan yang pernah mengenali diri ini sama ada secara langsung, secara sengaja, atas urusan kerja dan sebagainya. Ajal itu ada di mana-mana, tak mengira usia. Setiap masa kita perlu bersedia untuk menghadapinya. Kadang-kadang aku terfikir benarkah aku bersedia dengan sebenar-benar persediaan.Aku takut kerana aku insan lemah, punya banyak kelemahan, terlalu banyak melakukan maksiat.

Kepada sahabat-sahabat yang kukenali, jutaan kemaafan kupohon andai insan lemah ini tidak mampu untuk menjadi seorang sahabat yang baik. Maaf di atas kekhilafan, kenakalan, kelawakbodohan, keskemaan, keceluparan, keganasan,kemarahan, ketidakstabilan emosi, kemasaman muka dan sebagainya.

Kepada sahabat-sahabatku yang masih meneruskan perjuangan di medan peperiksaan jutaan kemaafan andai diri ini tak mampu untuk memberikan khidmat dan membantu sahabat-sahabat di kala sahabat-sahabatku yang tercinta dilambung ujian oleh ALLAH. Hanya doa yang mampu kuhadiahkan dari kejauhan.. Teruskan perjuanganmu wahai sahabatku dan aku menantimu dihujung sebuah kejayaan. Usah putus asa kerana kau punya ALLAH.
Yakin pada ALLAH.
Yakin bahawa sesungguhnya ujian yang ALLAH timpakan kepada kita selama hidup ini ada ganjaran yang besar disebaliknya..
Yakin bahawa dihujungnya sebuah keperitan terbentang sejuta kemanisan.
Yakin bahawa janji ALLAH itu pasti.
Suka untuk aku kongsi di sini beberapa tip yang berguna untuk sahabat-sahabatku yang bakal menghadapi peperiksaan:
1)Ikhlas
2)Yakin
3)Selalu mengadu dengan ALLAH
4)Berlapang dada dengan ujian ALLAH
5)Telefon mak ayah sehari sebelum setiap kali peperiksaan, minta doa dari mereka
6)Amalkan surah Al-Fath setiap hari
7)Banyakkan solat-solat sunat seperti solat hajat(kalau boleh buat setiap hari),solat dhuha dan solat sebelum dan selepas solat fardhu. Buat sikit-sikit pon tak pa tapi istiqamah itu yang penting.
8)Jaga hati
9)Baca surah Yassin pada malam sebelum setiap kali peperiksaan
10)Selalu kongsi perasaan dengan rakan yang lain, jangan pendam sorang-sorang
11)Manfaatkan waktu yang ada, manfaatkan peluang yang ALLAH berikan
12)Minta mak ayah baca yassin untuk kita (kalau boleh setiap kali peperiksaan)
13)Jangan anggap apa yang kita hadapi ini adalah satu bebanan. Enjoy the moments.
14)Al-Quran jangan tinggal
15)Kalau sudah berjaya jangan lupa bersyukur untuk mendapat keberkatan kejayaan kita. Banyak cara bersyukur antaranya ucapan syukur,sujud syukur,kenduri kesyukuran dan sebagainya
16)Jangan pernah mengeluh
Inilah sekadar yang termampu saya kongsi dengan sahabat-sahabat. Setiap orang berbeza-beza caranya.

Buat anak-anak mak di rumah, duduk elok-elok kat rumah ye. Mak pergi 2 minggu sahaja kalau ada umur yang panjang kita jumpa nanti.Kalau mak tak pulang-pulang juga mak minta maaf banyak kerana tak bisa jadi mak yang baik.Minta maaf kerana terpaksa meninggalkan korang sendirian. Nanti pandai-pandai la cari makan. Dah besa dah semua.Jangan tak makan pula rindu kat mak.hehehe (karutan je ni abaikan...)

Kepada sahabat-sahabat aku mengharapkan doa kalian agar perjalanan ibadatku diberkati ALLAH dan mendapat umrah yang mabrurah..InsyaALLAH. Doakan aku tabah dan istiqamah dalam beribadat di bulan Ramadhan ini.Ameenn......

p/s:sapa-sapa nak pesan doa meh la jemput datang ke rumah ye

Sunday, August 1, 2010

Kek Pisang

Impianku untuk membuat kek pisang tercapai jua pada cuti musim panas ini. Tapi sayangnya tak boleh praktis buat kek  kat rumah untuk bagi keluarga makan.
Teringat kat adik-adikku yang sangat suka kek pisang..
Time ni la nak feeling lebih.. I miss home. Kesian kat mak kena masak setiap hari. Harap tahun depan aku boleh ambil tugas mak untuk beberapa bulan..Ni la resepi kek pisangnya. Cuba jangan tak cuba..

Kek Pisang Lembut

Bahan-Bahan
-8 biji pisang (saiz kecil)
-3 biji telur
-1 cawan gula
-2 cawan tepung gandum
-1 paket baking powder
-1 paket vanilla
-1 cawan minyak masak


Cara membuat
1) Lenyek pisang dan biarkan begitu sahaja
2) Kisar telur sehingga putih,masukkan gula dan kisar lagi sehingga sebati
3) Tuang bahan yang dikisar ke dalam bekas
4) Masukkan tepung dan kacau sehingga sebati
5) Masukkan baking powder serta vanilla, kacau sehingga sebati dan kemudian masukkan pisang yang dilenyek tadi.
6) Akhir sekali masukkan minyak masak dan kacau sehingga sebati
7) Bakar adunan dengan api yang kecil

Senangkan nak buat kek pisang.. Rajin-rajin la mencuba. Ni pun pertama kali aku buat kek pisang. Terima kasih kepada Wardah yang sudi memberi resepi (dia pun tak pernah buat) walaupun telah diubahsuai sesuka hati dan terima kasih kepada Anje yang menjadi pembantuku di dapur...

Kepada kawan-kawanku yang berada di Malaysia rajin-rajin la turun ke dapur ye bantu ibu mana-mana yang patut. Lagi bagus kalau ambil terus tugas memasak sewaktu cuti begini.
Apa salahnya sekali sekala memberi peluang kepada ibu kita berehat setelah bertahun-tahun terperuk di dapur.
Apa salahnya merasa penat lelah ibu kita menyediakan makanan kepada kita selama ini..
Apa salahnya kita berbakti kepada ibu kita selagi masih ada waktu..
Apa salahnya memberi keluarga kita menikmati masakan kita walaupun tidak sesedap masakan ibu kita..
Waktu ni la nak praktis memasak sebelum kahwin nanti.

p/s: Berbaktilah kepada kedua ibu bapa kita selagi masih ada waktu, selagi ALLAH masih mengizinkan kita bernafas menyedut udara di bumiNya..