Saturday, October 5, 2013

AnTarA 2 PiLiHan........

Teman,
Kau perasan tak setiap hari kita kena buat pilihan? Paling kurang pun kau kena pilih nak buat sesuatu perkara atau tak? Itu kan kira kau kena buat pilihan jugak kan?
Setiap hari kita kena buat pilihan sebab kita hidup bukan dengan terima wahyu setiap masa dari Allah macam Nabi.





                         vs




Setelah hampir beberapa tahun berkelana ilmu di bumi Nabi Musa ini, kami pelajar Malaysia di sini diberi 2 pilihan samada mahu terus berkelana di sini sampai dapat menggenggam segulung ijazah atau sambung di Malaysia sahaja. Semuanya angkara perbuatan khianat Jeneral As-Sissi (laknatullahi alaik) yang membuat rampasan kuasa pemerintahan daripada Presiden Morsi yang sah.


Bumi Mesir yang tenang dan aman selepas peristiwa 25 Januari 2011 kembali bergolak walaupun tidaklah sama seperti 2 tahun yang lalu tetapi pembantaian tentera terhadap rakyat yang menentang rampasan kuasa adalah sangat dahsyat. Beribu-ribu rakyat Mesir yang tidak berdosa, yang berjuang mempertahankan Presiden mereka telah syahid. Seluruh dunia mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan itu. Orang yang berada di luar bumi Kaherah ini turut bersedih atas apa yang terjadi inikan pula kami yang berada di tanah berdarah ini, yang hari-hari meng'update' berita, yang kaki pernah menjejak ke tempat pembantaian itu, yang turut merasa pengkhianatan yang dilakukan terhadap rakyat Mesir.





Kesedihan mereka adalah kesedihan kita

Dr Morsi
Perancangan musim panas yang sepatutnya dihabiskan di Mesir tergendala. Aku pulang ke Malaysia melalui Evakuasi Sukarela (atas galakan JPA yang mahu semua pelajar tajaannya balik ke Malaysia).
Sebulan di Malaysia, Alhamdulillah cuti kali sangat sibuk dengan pelbagai program walaupun tidak dirancang dan jugak paling banyak habis duit.huahua






Pilihan? Ya. Aku juga memikirkan pilihan yang telah dicadangkan kepada kami. Setiap pilihan itu ada kebaikan dan keburukannya. Cuma satu perkara yang aku fikir balik apabila diberi pilihan begini yakni kenapa aku mohon perubatan Timur Tengah waktu isi borang JPA dulu..

Walaupun dulu Mesir bukanlah pilihan aku sebagai tempat menimba ilmu kerana aku lebih berminat ke Jordan kerana berminat dengan cerita Ustaz PQS waktu dekat sekolah dulu yang mana beliau adalah graduan lepasan universiti di Jordan. Semasa temuduga untuk biasiswa JPA pun aku jawab aku pilih Jordan bila ditanya oleh interviewer, negara mana yang aku pilih untuk sambung belajar.

Bila dapat tawaran untuk sambung belajar di Mesir, aku agak kecewa sikit tetapi sangat bersyukur sebab tak payah nak menyusahkan mak ayah untuk biaya pengajian aku lepas tu. Zaman sekarang perbelanjaan untuk anak-anak belajar di ipt sangat membebankan bagi masyarakat marhaen macam keluarga aku. Sebab itulah ramai anak-anak kampung lebih suka bekerja selepas tamat SPM. Mak ayah sanggup menggadaikan segala harta yang mereka ada untuk memastikan anak mereka dapat belajar seperti orang lain tetapi itulah yang menyebabkan anak-anak kampung ini tersepit.

Pertama kali sampai di Mesir, aku agak terkejut kerana pada sangkaan aku negara ini negara Islam jadi mesti rakyatnya adalah masyarakat yang betul-betul beramal dengan ajaran Islam tetapi sangkaanku meleset.
Di lapangan terbang aku terjumpa seorang kakak dengan pakaian sendat serta bonngol unta yang sangat tinngi di kepalanya. Huh  tak pasal-pasal kurang pahala aku sebab usha kakak tu tak berkedip-kedip mata aku... Lepas-lepas tu kalau jumpa manusia yang macam tu aku dah lali la.. erk! Astaghfirullah..

Satu benda yang membuatkan aku susah nak tinggalkan Mesir adalah suasana persekitaran yang Islamik (biah solehah) dalam kalangan masyarakat Malaysia di sini. Aku masih ingat waktu tahun pertama aku mula berjinak-jinak dengan tudung labuh sebab ramai kawan-kawan yang sama kuliah pakai tudung labuh. Aku jadi malu bila pakai tudung bawal singkat sedangkan ramai yang lain pakai tudung bulat dan labuh. Bajet baik la konon. Awal-awal pakai pun orang lain punya tudung labuh. Mudah-mudahan istiqamah..

My Usrah
Satu benda lagi yang aku belajar kat sini adalah perihal hormat tetamu. Jika ada tetamu/orang datang ziarah memang seronok, layan elok-elok sebab tetamu bawa rahmat. Kadang-kadang kalau ada orang datang waktu tengah study untuk exam pun dilayan dengan baik. Paling kurang pun keluar tunjuk muka yang comel je.hehe Itu sebab aku agak terkejut dan terkilan bila suatu hari di Malaysia aku pergi rumah sewa kawan aku. Mungkin silap timing kot waktu aku pergi tu. Mereka ada konflik sesama mereka tetapi tak pasal-pasal aku pulak kena halau dari rumah tu. Kalaulah dia tahu bagaimana cara Rasulullah layan tetamu.........

Di Mesir aku belajar berpersatuan. Di sini ada banyak persatuan. Biasa la tu hatta di universiti di Malaysia pun ada banyak persatuan. Masing-masing berlumba-lumba untuk buat amar makruf nahi mungkar. kot.. Aku join PERUBATAN ( Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia Mesir). Awal-awal dulu sebagai peserta program ja sebab persatuan ni banyak juga buat aktiviti sukan. Aku kan obses sukan, jadi setiap kali ada pertandingan sukan aku join. Lama-lama up sikit jadi ajk pelaksana program. Sampai satu ketika aku ada konflik samada nak kekal dalam bidang sukan yang aku minat atau masuk bidang tarbiyah (uruskan usrah).At last, aku deviate ke bidang tarbiyah. Kononnya time tu tengah nak baiki diri jadi dengan aku join bidang ini boleh la bantu proses islah diri sendiri ni. Alhamdulillah pilihan aku tak salah.
PERUBATAN
Banyak sangat benda yang aku belajar semasa berpersatuan ni. Komunikasi dengan orang lain, cara nak uruskan program, cara nak berfikir untuk mengeluarkan idea, cara handle orang bawahan,cara bercakap di depan, kaedah bermesyuarat dan banyak lagi yang aku belajar. Kalau dulu aku boleh selalu parkinsonism bila kena cakap di depan ramai orang even secara sukarela atau sesama perempuan sahaja, tetapi sekarang sudah semakin berkurang. Malu beb kalau orang nampak tangan menggeletar, kaki menggigil-gigil.huhu Untuk proses belajar memang kena malu awal-awal tetapi bila dah lama-lama tu ok la.

Seperkara lagi pasal Mesir adalah meriahnya majlis ilmu di sini samada yang dianjurkan oleh masyarakat Arab atau oleh persatuan pelajar Malaysia di sini. Mesir kaya dengan khazanah ilmu sejak berzaman-zaman lamanya, ditambah pula dengan para ilmuwan, syeikh-syeikh yang arif dalam pelbagai bidang ilmu. Aku bukanlah jenis manusia yang bertalaqi dengan mana-mana syeikh tetapi aku tidaklah tak pernah pergi langsung kelas-kelas yang syeikh ajar. Kalau di Malaysia pun majlis-majlis ilmu semakin subur tetapi suasananya tetap tidak sama.

Kalau nak cerita pasal Mesir memang tak cukup sekadar satu post. Banyak lagi benda yang amat aku hargai bila berada di sini. Bagi aku, aku akan tamatkan pengajian di tempat aku mula..
Dan setiap orang ada alasan sendiri kenapa memilih itu dan kenapa memilih ini. Belajarlah di mana-mana pun, yang penting kesungguhan kita dalam menuntut ilmu kepunyaan Allah.

Petua Solat Istikharah: 
Lepas solat Isyak, banyakkan ibadah, kemudian solat istikharah dan khatamkan selawat 1000 kali. Tiap-tiap ke 100 baca selawat umi. Jangan borak-borak dan terus tidur ikut sunnah Nabi.

Lagi 3 hari, permohonan transfer credit ke Malaysia akan ditutup. Buat pilihan yang terbaik ya kawan-kawan dan adik-adik sekalian...

Sunday, June 16, 2013

KiSaH kAu DaN aKu BeRBeza

Teman,
23 tahun lalu aku dilahirkan, bukan di hospital tapi di sebuah rumah kecil di sebuah kampung bernama Tanjung Belit atau dulu dikenali sebagai Kampung Labi Labi . Kau tahu teman kenapa diberi nama kampung Labi Labi? Aku rasa mungkin sebab kampung aku itu banyak labi labi. Kau mesti tak kenal bukan apa itu labi-labi. Mari aku khabarkan pada kau. Labi-labi adalah sejenis binatang 2 alam yang sudah pasti haram dimakan oleh umat Islam, hidupnya di paya-paya air tawar, rupanya seakan kura-kura tetapi mempunyai tempurung badan yang berlainan corak. Badannya tidak bercorak seperti kura-kura dan amat digemari oleh masyarakat Siam. Itu kisah kampungku yang aman damai penuh dengan flora dan fauna. Kampung la katakan.

Aku lahir disambut bidan kampung saja tapi Alhamdulillah aku sempurna saja tiada apa-apa kecacatan. Bidan kampung boleh jadi lebih terer dari jururawat di hospital. Kau tahu teman aku ni suka sekali menangis waktu kecik-kecik dulu. Entah genetik mana yang ada dalam tubuh badan ku ini membuatkan mata aku murah sekali dengan air mata. Tapi teman aku rasakan penyakit kemurahan air mata itu tidak dapat diubati sehingga aku dewasa.

Ini banglo aku dibesarkan
Kau tahu teman, kalau ada anak yang baru lahir orang kampung akan bertanya, " Mek ke wang?". Kau mesti tahu kan, mek tu maksud perempuan (tina) dan wang itu untuk lelaki. Jadi sejak kecik nama aku lekat sebagai MEK dalam keluargaku dan kampung itu. Dulu teman, aku amat membenci nama itu. Kuno! Nama orang tua-tua, aku sangat tidak suka malah aku malu dengan nama MEK itu. Sampaikan aku pernah cakap pada mak aku, " Jangan panggil cek mek kalu kawan cek telefon." Aku selalu fikir apa kejadahnya nama aku yang cantik yakni Badriyah dan diberi oleh Tok Guru Haji Salleh Pondok Sik ini tidak digunapakai sebaliknya diganti dengan MEK. Aku jahil rupanya teman sebabnya aku hanya tinggal di bawah tempurung daerah Sik tidak terdedah dengan dunia luar. Bila sudah dewasa baru aku tahu rupa masih ramai lagi orang yang namanya sama dengan aku terutama orang kelantan. Ada kawan aku namanya MEK TI, MEK SU, MEK LIN dan macam-macam mek lagi. Mek juga digunakan oleh orang kelantan sebagai panggilan kepada nenek.

Kau kenal binatang ini?
Umur 7 tahun aku mula bersekolah. Sekolahku yang pertama adalah PASTI Surau Kampung Tanjung Belit. Sungguh daif teman.  Kau pasti menangis jika melihat keadaan kelasku itu. Bumbung zinknya berlubang-lubang. Kalau musim hujan kami akan ke rumah ustazahku untuk belajar kerana kelasku pasti tidak boleh digunakan. Kapur-kapur pasti akan basah dan kembang selepas hujan. Paling aku suka kalau belajar di rumah ustazahku kami akan dihidangkan dengan cekodok dan air milo. Nikmat sungguh teman air milo di musim hujan. Kau tahu berapa yuran pengajianku sebulan? Hanya RM 10 sebulan teman tapi itu sudah cukup besar bagi orang kampung sepertiku.

Darjah satu aku ke Sekolah Kebangsaan Chepir. Sekolah kampung berusia berpuluh-puluh tahun penuh dengan misteri. Paling misteri sekali tandasnya. Kau tahu teman tandasnya tidak pernah dirobohkan sehingga sekarang dan ada tandasnya tidak boleh buka bertahun-tahun lamanya.  Apa lagi yang ada dalam pemikiran kanak-kanak pongoh seperti aku ketika itu melainkan ada hantu dalam tandas yang terkunci itu. Dari darjah satu sampai 6 aku paling tak suka waktu darjah 3. Kau tahu kenapa teman? Waktu aku darjah 1 aku ditempatkan dikelas tercorot sebab aku pelajar PASTI bukan PRA-SEKOLAH. Setiap tahun naik satu  kelas sampailah tahun 3 aku duduk di kelas yang paling pandai antara ketiga-tiga kelas itu. 3M itu kelas aku waktu darjah 3. Aku tidak pernah tahu apa dimaksudkan dengan abjad yang diwakili oleh setiap kelas, M, K dan T. Waktu darjah 3 ada seorang guru lelaki mengajar Bahasa Melayu tapi teman aku boleh bilang berapa banyak yang dia ajar dengan berapa banyak benda-benda mengarut yang dia buat pada kami ketika itu pada pandangan aku. Bukan aku nak memburukkan dia malah  aku sangat berterima kasih dengannya atas segala ilmu yang dicurahkan tetapi ada banyak benda yang aku tak boleh terima yang dia telah buat kepada kami.

Tahu buah ini apa teman?
Setiap kali kelasnya bermula kami akan beratur di luar kelas untuk masuk secara berpasangan lelaki dan perempuan dan masing-masing akan memegang hujung sebuah buku. Nasib baik bukan pegang tangan. Kami juga pernah disuruh lukis muka lelaki (kalau perempuan) dan perempuan (kalau lelaki) yang kita minat dan lukisan itu akan kami tunjuk pada orang yang kami lukis mukanya. Itu kelas bercinta aku rasa bukan kelas Bahasa Melayu. Bukan itu saja teman, cikgu itu akan memilih beberapa orang budak perempuan yang cantik dan akan dibuat undi siapa yang paling disukai oleh pelajar-pelajar lain. Aku sudah tentu tidak termasuk dalam golongan itu kerana rupa aku comot dan hitam, rupa tipikal kanak-kanak kampung yang buas (nakal). Dibuat juga dating antara pasangan di taman sekolah. Nasib aku agak baik teman mungkin sebab aku tergolong dalam kalangan budak hitam dan comot jadi aku tidak menjadi perhatian cikgu itu untuk dikenen-kenenkan dengan budak lelaki lain.

Banyak lagi benda yang cikgu itu yang aku tak boleh terima. Dan akhirnya cikgu itu ditukarkan ke tempat lain. Kau tahu kenapa? Sebab ada pelajar yang mengadu didenda dengan disumbat kertas di dalam mulut dan disuruh berdiri di atas meja  kepada mak ayah mereka. Apa lagi mak ayah pun datang ke sekolah bertemu dengan guru besar. Memang betul mereka kena denda sebegitu rupa tapi aku tak kena sebab aku tak bising ketika cikgu itu masuk ke kelas.  Mungkin aku bising tapi cikgu itu tak perasan. Beberapa tahun selepas itu aku dengar cikgu itu dibuang dari pekerjaan sebagai guru sebab perangainya itu.

Di sekolah, aku sangat nakal teman. Kelas kokurikulum petang pernah sahaja aku ponteng walaupun aku ketika itu adalah Ketua Pergerakan Tunas Puteri. Berlari-lari di tepi pagar sekolah dan pastinya cikgu nampak. Aku masih kurang bijak ketika itu teman. Yalah kanak-kanak polos, fikirannya tidaklah sejahat mana. Yang pasti aku tidak pernah memanjat pagar sekolah.

Waktu sekolah, aku sangat obses dengan sukan. Tidak ada sukan apa yang aku tidak pernah mencuba. Lari 100m, 200m, lompat tinggi, lompat jauh, merentas desa, bola jaring, kawad semua aku masuk teman. Itu sebab aku termasuk dalam kalangan budak comot dan hitam ditambah pula hari-hari aku bergelumang dengan sawah padi di tengah terik matahari. Itulah dunia aku ketika kecik teman. Aku bahagia dengan dunia itu. Dunia itulah membesarkan aku sehingga menjadi seperti sekarang.

Sawah padi

Pokok getah dan bau skrap yang busuk mencucuk hidung mancungmu itu juga permainan aku. Kau tahu setiap kali getah skrap kering dan boleh dikutip untuk dijual kepada peraih, ayah akan mengerahkan kami membantunya mengutip skrap yang busuk itu. Di kebun getah kau  bukan sahaja akan bergelumang dengan busuknya getah skrap tapi kau juga kena bermain dengan pacat dan nyamuk. Tapi itu bukan satu masalah bagi kami sebagai anak kampung. Selepas siap mengutip skrap aku pasti akan terbaring keletihan terjelepuk umpama kain buruk sampai kadang tertidur dalam kebusukan getah skrap.  Kau bisa hilang 2 3 kilo berat badanmu  itu teman.
Bila padi menguning 
Teman, ada satu benda yang aku kecewa ketika di alam sekolah rendah. Aku tidak dapat 5A dalam UPSR. Aku hanya dapat 4A 1B. Bukan aku seorang sahaja begitu juga dengan kawan-kawanku yang lain yang ditarget oleh cikgu untuk mendapat 5A. Maknanya pada tahun itu 1997 tidak ada seorang pun pelajar sekolah itu mendapat 5A. Kami menangis bagai nak gila aku rasa. Mungkin aku belum lagi merasa itu nikmat bersyukur ketika itu. Sudah la tidak dapat 5A aku juga tidak mendapat tawaran kemana-mana sekolah agama di negeri jelapang padi itu lantas aku terdampar di sekolah harian biasa yang pelajarnya bisa membuatkan kau sakit jiwa.

Tapi teman, semakin hari semakin aku cinta dengan sekolahku itu. Tingkatan 3 aku mendapat 9A dalam PMR 2005. Aku satu-satunya pelajar yang mendapat 9A setelah beberapa tahun sejak 2001 tidak ada pelajar yang mendapat 9A. Itu kebanggaan aku ketika itu. Bukan senang teman nak mencipta sejarah seperti itu. Sekali sekala bangga apa salahnya. Tingkatan 4 aku mendapat tawaran ke SBPIKP. Awalnya aku tidak mahu pindah sekolah tetapi setelah dipujuk oleh ayah akhirnya aku mengalah. Kali pertama aku keluar dari kepompong kehidupan kampung ke luar daerah Sik. Aku ingatkan sekolah baruku itu ditengah-tengah bandar yang sibuk tetapi rupa-rupanya di hujung dunia bersempadan dengan Thailand.

Hari pertama pendaftaran, kau tahu teman aku menangis sepanjang perjalanan ke sana. Kan sudah aku khabarkan pada kau penyakit kemurahan air mata aku datang lagi ketika itu. 2 jam perjalanan air mata aku tidak pertama kering ditambah pula dengan pesanan yang diungkapkan oleh kawan ayah Pak Ungku yang ikut serta menghantar aku ke sana.

Di SBPIKP aku bukanlah dalam kalangan pelajar yang menonjol. Dunia aku ketika itu hanyalah jalan tar sekolah dan perpustakaan. Kau tahu kenapa teman? Aku gila obses dengan sukan lari. Aku menyertai klinik larian dan jalan kaki. Kami diwajibkan setiap petang menghabiskan 3 pusingan sekolah termasuk asrama dan dewan makan. 5km setiap petang teman. Itu sebab aku boleh jadi juara merentas desa sekolah itu. Tapi teman aku menyertai klinik itu bukan sebab aku mahu berlari tapi aku mahu masuk acara jalan kaki ataupun walkathon. Jadi setiap petang aku bukan berlari tapi berjalan kaki. Kami berlatih sampai hampir dengan hari pertandingan walkathon peringkat daerah waktu aku tingkatan 5 tapi aku menarik diri di saat akhir. Bukan sebab aku tidak cinta dengan bidang itu tapi sebab ia melanggar prinsip aku. Kau pernah lihat pertandingan walkathon yang mana pesertanya memakai seluar yang longgar-longgar. Tidak pernah bukan? Itulah sebab utama aku tidak jadi masuk pertandingan walkathon walaupun Sensei (jurulatih kami) mensasarkan aku bakal bergelar juara kerana saingan yang tidak seberapa dalam bidang ini.

SBPIKP dalam kenangan...
Banyak kenangan aku di SBPIKP yang tak mampu aku coretkan di sini. Kenangan-kenangan itu sentiasa terpahat di memori hidup aku sampai mati. Aku belajar dari kehidupan sekeliling  menjadi dewasa. Dunia ini dijadikan untuk kau belajar darinya bukan.

Aku sekarang sudah dewasa teman, sudah bergelar mahasiswa tahun 5 jurusan perubatan di Universiti Kaherah bumi Nabi Musa a.s. Aku bukanlah lagi kanak-kanak hingusan yang hanya kenal dunianya sahaja. Aku sekarang melihat dunia luar yang pelbagai warna yang aku tidak pernah terfikir wujud dulu waktu zaman kanak-kanak. Kecintaan aku kini bukan lagi pada larian tapi kecintaan aku kepada Allah itu yang aku kejar sekarang. Tapi teman penyakit kemurahan air mataku itu tetap tidak dapat diubati sampai sekarang.

Teman, cerita ini bukan untuk dibangga-banggakan jauh sekali mencari populariti tapi kucoretkan secebis cerita itu sebagai perkongsiaan, dijadikan pengajaran bersama. Ini cuma kisah biasa, kisah anak kampung dan aku yakin hidup kau lebih berwarna-warni lagi dari aku.

Teman, ayuh kita fikir dan muhasabah selama berpuluh-puluh tahun kita hidup ini, apa yang telah kita lakukan untuk agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad kepada kita ini?


Teman, cerita kita mungkin tidak sama
Tapi kita tetap serupa
Kita tetap seorang hamba
Hanya satu membezakan kita
selamanya dan di sisiNYA
Iaitu TAKWA

Teman, tidak ada yang lebih berharga
Dalam kehidupan di dunia
Melainkan iman dan takwa
Menjadi bekalan utama
Sebuah perjalanan menuju akhirat sana

Teman, jangan mudah terpedaya
Dengan nikmat dunia sementara
Itu bisa menjadikan kau hamba yang alpa
Lalai lagi terlupa
Lantas tergelincir dari jalan cahaya
Jatuh ke lubang kelam dan gelita

Teman, teguhkan iman di dada
Dengan panduan dari RasulNYA
Sang kekasih yang amat dicinta
Agar kau terus di atas jalan cahaya
Menuju redha menggapai syurgaNYA

Teman, buktikan imanmu biar nyata
Bukan sekadar dengan kata-kata
Amal dengan anggota
Itu yang terutama....

Yang mengasihi kau kerana ALLAH,
Sibby badriy



Saturday, March 30, 2013

MAsk

Round OnG sangat seronok dan membuatkan saya sangat teruja untuk meneroka lebih dalam subjek ini. Satu hari lepas habis kelas tetiba rajin nak g ward untuk ambik history pesakit. Tetapi sebelum tu minta la dulu kebenaran untuk masuk buat pekerjaan tu. Pusing punya pusing cari orang yang bertanggungjawab untuk minta keizinan sampailah terdampar dekat depan bilik ketua department. Dekat depan tu jumpa la seorang doktor lelaki. Maka terjadi pebualan antara kami..

Saya: Doc, can i ask u something?
Doc: What's ur name?
Saya: Badriyah
Doc: How you will work later with ur face masked. Patient can't trust u. how can they do that by just seeing ur eyes. U should show ur face. bla bla bla

Saya xdak ruang pun untuk menjawab walau sepatah perkataan. Paling terasa bila dia kata agama tidak ajar kita berlebih-lebihan. Sebelum dia masuk bilik pun dia mengulang benda yang sama.
Saya terfikir mungkin la ada kes doktor didn't perform well because they masked their faces. I don't know.

Tetiba teringat my friend ask, " hei, u wear this? (sambil tunjuk mask kat muka saya) Bukan ke Cairo u xleh pakai ke benda ni?
I answered, " Sapa kata?"

it's just a sunnah.
bukanlah masalah.
apa yang orang kata saya xkisah.
kerana saya tahu apa yang saya buat..

PEACE!!!

Thursday, March 14, 2013

PuIsI CiNtA




Cinta suci ini
Hadir dari hati
Anugerah Sang Rabbi
Matlamatnya ukhrawi
Untuk mengenggam syurga hakiki
Mengharap pertemuan di sana nanti
Tapi amal perlu sebagai bukti
Bukan sekadar luahan dalam hati

Duhai teman yang kukasihi
Adakah kau mengerti
Hakikatnya cinta manusiawi
Hadir tidak pasti
Dalam cinta ada benci
Tiada jaminan kekal abadi
Tapi cinta kepada Ilahi
Cinta sayang sejati
Cinta tulus dari hati
Dipandu dengan nurNya Rabbi
Bisikan nafsu jauh sekali

Duhai hati
Syukuri nikmat diberi
Agar bertambah rasa cinta ini
Kerana matlamatmu bukan duniawi
Bukan juga di sini
Bukan mengharap balasan manusia bagi
Tetapi bertemu Allah Rabbul 'Alamin

Ya Rabbi
Teguhkan hati ini
Seteguh karang di Lautan Hindi
Mengenggam janji yang dipateri
Tanam pasak dalam bumi diri
Junjung sampai ke mati....




Sibby Badriy 
15/03/13

Monday, February 25, 2013

UbAh

Pertanyaan yang sama menghujani daku 2 3 minggu ini.
Gaya macam kena buat kenyataan rasmi macam Presiden PERUBATAN..huhu
Itu tanda sahabat-sahabat yang saya kasihi concern dengan saya.. Cehhh bajet je.

Apa yang berlaku ini adalah kerana saya mahu menjadi muslim yang lebih baik dari saya yang dulu-dulu tu. ITU SAHAJA. Tidak ada agenda lain. Tidak ada sapa-sapa yang suruh. Ianya dari diri saya sendiri.

Waktu saya nak minta izin dengan ayah, ayah ada tanya, "Ada orang suruh ka?". Saya jawab, "Tak dak. Sendiri yang nak." Ayah kata, "Bagus la. Kelik Malaysia macam nanti?". Saya jawab, "InsyaAllah, ayah doakan ye".

Mak ngan Ayah selalu menyokong  saya tapi ada satu benda je yang ayah tak leh kompromi.. haha

Doakan saya istiqamah dan kuat.. Ameeen

family bahagia


Friday, February 1, 2013

WarKaH buAt AwAk: hIkAyAt BoToL kICaP


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...

Awak, mudah-mudahan awak dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dipayungi dengan rahmat dan kasih sayang ALLAH s.w.t. Warkah kali ini adalah sedikit perkongsian saya kepada awak dan harap awak sudi membacanya dan mengambil pengajaran darinya. Hakikatnya perkongsian ini adalah peringatan untuk diri saya, sendiri insan kerdil yang sedang berusaha menggapai redha Allah yang Esa. Saya kongsikan dengan awak sebuah kisah dalam warkah yang berbunyi begini:

Ada seorang ahli perniagaan muslim yang banyak melakukan dosa kepada ALLAH terutama dalam bidang perniagaan seperti riba, menipu dan sebagainya. Hasil dari perbuatannya itu perniagaannya bertambah maju dan memberi hasil yang sangat lumayan dan dia hidup dengan senang lenang. Tetapi dengan kuasa ALLAH s.w.t,pada satu ketika dia tersedar dan ingin kembali bertaubat kepada ALLAH atas dosa-dosa yang dia lakukan sebelum ni. 

Maka dia pun membulatkan tekad unutk kembali kepada ALLAH, kembali kepada syariat Islam dan cara hidup mengikut landasan Islam yang sebenar. Dia tidak lagi mengamalkan amalan riba, penipuan dan sebagainya yang tidak mengikut syariat dalam perniagaan dan kehidupan sehariannya. Tetapi setelah berusaha menjadi muslim yang lebih baik Allah telah mendatangkan ujian kepadanya yang mana perniagaan merundum secara mendadak akibat perbuatan sahabat karibnya yang mengkhianatinya dengan menggelapkan berjuta-juta wang syarikat. Dia sangat sedih dan satu persoalan timbul dalam diri yakni "Mengapa aku didatangkan ujian setelah mana aku ingin kembali kepada ALLAH?"..

Maka dia pun mendatangi seorang ustaz untuk memohon pendapat dan nasihat. Lalu diceritakan olehnya segala yang terjadi dan apa yang terbuku dalam hatinya.
Ustaz tu pun membuka bicara;

" Ana nak tanya enta, tahu tak pasal kicap yang dah tak boleh dimakan sebab rosak?

" Ana tak tahu ustaz."

" Cuba enta dengar baik-baik apa yang ana nak cerita kat enta ni. Botol kicap kita boleh guna semula betul?. Ana maksudkan kitar semula walaupun isinya dah rosak. Macam-macam benda kita leh buat dengan botol kicap tu kan lepas kita cuci dia elok-elok  . Kita leh letak kicap baru atau wat hiasan dan sebagainya kan."

"Betul2 ustaz. Makanya?"

" Daripada botol kicap yang ada isi yang dah rosak untuk hasilkan botol kicap yang elok , bersih serta tidak busuk banyak step yang kita kena buat, betul?

" Kita tuang jela isi yang dah rosak tu kemudian basuh la dengan air. Settle kerja ustaz."

" Enta boleh jamin ke botol tu betul-betul bersih dan tidak berbau kalau hanya setakat basuh dengan air biasa sahaja?"

" Ha'a betul jugak tu. Jadi apa kenanya dengan masalah ana ni, ustaz? "

" Macam tu jugak yang berlaku dekat enta dan kita semua. Enta tahu apa hikmah Allah takdirkan ujian-ujian tersebut kepada enta? Itu cara ALLAH nak  sucikan jiwa enta dari dosa-dosa enta lakukan sebelum ini. Allah berfirman dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 214 yang berbunyi ," Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepada kamu cubaan seperti yang dialami orang-orang terdahulu sebelumkamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang dengan pelbagai cubaan sehingga Rasul dan orang beriman bersamanya berkata ," Bilakah akan datang pertolongan ALLAH ?"  Ingatlah, sesungguhnya pertolongan ALLAH itu dekat.". Jalan kembali kepada Allah bukanlah jalan yang senang tapi jalan itu sentiasa penuh dengan ujian dan dugaan. Sebab apa ditakdirkan begitu? Sebab Allah nak uji keimanan kita dan Allah nak uji siapa yang sebenarnya betul-betul ingin menuju kepadaNYA. ALLAH berfirman jugak dalam Al-Quran Surah Al-Inshiqaq ayat 6 , " Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu maka kamu akan menemuiNYA." Datanglah apa-apa pun ujian kepada kita setelah kita bulatkan tekad kerana mencari keredhaan ALLAH maka tiada apa yang boleh menggugah keyakinan kita kepadaNYA. Sangka baik dan  sentiasa positif itu sangat penting."

" Terima kasih banyak ustaz. Tenang hati ana dengar nasihat ustaz. Itulah, dulu ana sangat banyak dosa, tak sepatutnya ana nak harapkan senang belaka bila dah taubat. Rasa macam tak bersyukur dengan nikmat terbesar yang ana dapat yakni hidayah Allah s.w.t untuk ana kembali kepada Islam yang sebenar."



Awak, tiada apa yang paling manis dalam hidup ini melainkan tatkala hanya ALLAH sahaja pergantungan kita di masa susah mahupun senang.
Sampai di sini sahaja warkah saya ini dan tidak perlu rasanya untuk saya hurai panjang kisah yang saya bawakan kepada awak. Harap awak dapat menghayati dengan sebaiknya.

Yang mengasihimu kerana ALLAH,
Sibby Badriy

Sunday, January 27, 2013

KiTA mAHU vs ALLAH taHu




KISAH 1

Dulu waktu sekolah rendah keputusan UPSR Alhamdulillah dapat 4A 1B. Walaupun tidaklah penuh A tetapi itulah keputusan terbaik untuk pencapaian sekolah itu. Al-maklumlah sekolah kampung, fasiliti tidaklah seberapa tambah pula dulu memang malas belajar sikit. Ada 5 lagi kawan saya yang dapat keputusan yang sama. Waktu dapat keputusan tu nangis juga sebab ingatkan dapat lebih lagi. Walaupun dapat 4A 1B, kami 6 orang mencuba nasib untuk memohon masuk ke sekolah agama. Kalau dekat Kedah ada 4 sekolah agama yang terkenal SMKA Sik, SMKA Yan, SMKA Baling dan SMKA Kedah. Hati memang berbunga-bunga sangat berharap la dapat masuk sekolah agama.

Tup-tup daripada 6 orang kami 2 orang saja dapat sekolah agama, seorang dapat Kolej Sultan Abdul Hamid dan selebihnya tak dapat mana-mana melainkan pilihannya adalah masuk sekolah menengah harian biasa. Sayalah orang yang tak dapat ke mana-mana. Sedih memang sedih sebab saya harap sangat dapat masuk sekolah agama. Jadi saya masuk je la SMK Sik. Tetapi ALLAH itu Maha Hebat kan perancanganNYA? Waktu PMR saya dapat 9A (ambik aliran agama) dan dapat tawaran ke SBPI Kubang Pasu. Berat nak pindah sekolah sebab SBPIKP sangat baru dan saya tak tahu setakat mana pencapaian akademik sekolah serta saya tak pernah duduk asrama sebelum ni. Pertama kali dalam hidup kena berjauhan dengan keluarga dan duduk asrama.

Ayah tanya kawan-kawan dia pasal sekolah tu dan pujuk saya untuk pergi atas nasihat kawan-kawan dia. Memang sepanjang perjalanan selama 2 jam airmata tak boleh nak sekat dari tak keluar. Murah benor dengan airmata. Penat lacrimal gland keluarkan airmata selama 2 jam tu. Selepas itu ALLAH mudahkan perjalanan akademik saya sampailah dapat datang ke Mesir. Alhamdulillah.

KISAH 2

Waktu tingkatan 4 dan 5, saya memasang angan-angan untuk sambung belajar dekat Jordan hasil dakyah Ustaz Bahasa Arab saya yang lulusan dari Jordan. Berkobar-kobar semangat untuk pergi belajar dekat sana sampaikan waktu temuduga JPA saya ditanya negara mana yang menjadi pilihan saya untuk sambung belajar. Saya apa lagi terus jawab Jordan dengan penuh keyakinan dan harapan.

Bila keputusan temuduga keluar, saya dapat Mesir bukan Jordan seperti yang diidam-idamkan. Kecewa? Sedikit kecewa tetapi terima dengan pasrah. Kalau tak terima biasiswa tu saya nak belajar macam mana. Mak ayah bukan ada duit sangat. Alhamdulillah Allah murahkan rezeki saya dari sekolah menengah sampai sekarang dapat biasiswa. Datang la Mesir setelah ayah bagi syarat kena ada kawan yang dia kenal sekali pergi Mesir tu. Nasib baik ada Azfa walaupun kalau tak dak kawan tetapi pujuk dia elok-elok ayah bagi ja.

Ini kisah saya dan saya pasti ramai lagi yang mempunyai kisah yang hampir serupa dengan saya. Banyak benda dalam hidup ini sebenarnya terjadi bukan kehendak kita. Kita mahu A tetapi ALLAH bagi B. Saya mahu ke Jordan tetapi ALLAH gantikan dengan Mesir. Ada orang mahukan kawan yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya tetapi Allah hadiahkan kawan yang sebaliknya. Ada orang mahu sambung belajar dalam bidang kejuruteraan tetapi dapat tawaran buat perubatan. Ada orang mahu berkahwin di usia muda tetapi ALLAH lambatkan jodohnya sedikit dan sebagainya.

Perkara ini seringkali berlaku dalam hidup lantas kita mendongak ke langit dan bertanya kepada ALLAH, " Ya ALLAH mengapa ENGKAU berikan sesuatu kepadaku bukan berdasarkan apa yang aku mahu dan suka?". Persoalan itu sering berlegar dalam fikiran kita dan tatkala iman kita lemah kita boleh sampai satu tahap mempertikaikan takdir ALLAH terhadap kita. Na'uzubillah. Terutama apabila kita mengimpikan pelangi kebahagiaan yang berterusan dalam hidup tetapi Allah hadirkan kepada kita hujan ujian yang maha dahsyat.

Pernah tak kita dengar firman ALLAH yang bebunyi, " ... Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
( Al-Baqarah 216).

Apabila kita berpegang dengan ayat di atas, hati kita akan terpujuk, bertambah redha dan yakin bahawa sesungguhnya setiap sesuatu yang Allah tentukan ke atas kita adalah sesuatu yang TERBAIK sesuai dengan KEPERLUAN bukan KEMAHUAN kita.

Sungguh ALLAH itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.......Allahu Akhbar!!!


Monday, January 21, 2013

PeNGeMiS

Hakikatnya dakwah itu tidak ada sempadan dan garis masa. Semoga ALLAH terus kuatkan fizikal dan mental diri ini untuk terus mencoretkan sedikit pengisian untuk diri sendiri dan orang yang membaca..
 


Kisah diceritakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal.
Seorang ibu meninggalkan anak lelaki di satu tempat buat seketika kerana dia ingin meninjau tempat yang lebih teduh untuk memberi makan anaknya itu dengan sebuku roti.
Sewaktu dia sedang meninjau keadaan sekitar, seorang penculik datang dan menculik anaknya itu untuk dijual dan dijadikan hamba.
Alangkah terkejut dan sedih wanita tersebut apabila dia kembali semula ke tempat anaknya ditinggalkan kerana anak sudah tiada di tempat itu.
Sungguh ibu mana yang sanggup kehilangan anak yang dia kandung selama 9 bulan 10 hari dan ditatang dengan penuh kasih sayang sejak dari kecil. Menangis kepiluan ibu itu.
Sedang ibu itu menangis, datang seorang pengemis datang kepada ibu tersebut meminta sesuap makanan untuk mengalas perutnya yang kosong.
Walaupun ibu itu dalam keadaan sedih atas kehilangan anaknya tapi dia tidak teragak-agak memberikan sebuku roti yang sepatutnya untuk anaknya makan kepada pengemis tersebut. Sungguh mulia hati ibu itu, dia tetap memberi kala kesedihan.
Beberapa minit selepas itu, penculik itu kembali semula ke tempat ibu tadi bersama anak kecil yang diculiknya.
Penculik itu lantas berkata,"Semasa aku cuba menjual anak ini, aku terdengar suara asing yang berbisik kepadaku dengan berkata,' Adakah kau juga mempunyai anak seperti ini? Tidakkah kau takut jika anakmu juga akan mengalami nasib yang sama seperti anak ini?' Sebab itulah aku datang semula ke sini, mengembalikan anakmu ini".
Ibu itu terus memeluk anaknya dan berkata,"Syukur pada ALLAH yang menerima sebuku roti milikku (sedekah) sebentar tadi"

Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima...

-dipetikdarisebuahbuku-

Thursday, January 17, 2013

KasihMU III






" Assalamualaikum umi."

" Waalaikumussalam Sarah. Ya Allah lamanya umi tak dengar suara Sarah. Sarah sihat ka?"

" Alhamdulillah Sarah sihat, umi. Umi kat sana sihat tak? Umi, Sarah minta maaf sebab lama tak telefon umi."

" Umi sihat ja Sarah. Alhamdulillah. Sakit pening gitulah Sarah. Biasa la orang tua kan. Sarah sibuk ke sekarang? Kuliah kat sana ok tak?"

" Alhamdulillah umi. Semuanya ok ja. Sarah je yang bermasalah, tak pandai nak susun masa betul-betul. Cuma sekarang ni Sarah sibuk sikit sebab kena uruskan program hujung minggu ni. Umi, doakan Sarah tau."

" InsyaALLAH umi sentiasa mendoakan anak kesayangan umi ni. Sibuk-sibuk tu jangan lalaikan solat. Solat kena jaga betul-betul, jangan buat dekat akhir-akhir waktu."

" InsyaALLAH umi. Tapi umi kena doakan Sarah tau supaya Sarah sentiasa istiqamah dengan amalan kebaikan. Pesanan umi InsyaALLAH sentiasa dalam hati Sarah. Sarah dah simpan elok-elok kat dalam hati Sarah. Umi, Sarah ada satu cerita untuk umi ni. Umi nak dengar tak?"

Hampir sejam Sarah berbual dengan uminya petang tersebut. Sebagai anak bongsu Sarah sangat rapat dengan umi. Dia sangat suka bercerita segala perkara kepada uminya. Sejak kematian ayahnya 7 tahun lalu, Sarah telah banyak berubah. Daripada seorang anak gadis yang nakal dan lincah serta banyak melakukan masalah, dia kini sudah berubah 100%, menjadi gadis yang lebih baik dan aktif dalam aktiviti di kampusnya.

Menjadi anak yatim mengajar Sarah tentang erti sebuah pengorbanan. Umi, wanita cekal dan kental banyak berkorban untuk membesarkan dia dan 3 abangnya sejak kematian ayah. Dulu semasa ayah masih ada, umi cuma surirumah sepenuh masa. Tetapi hidup umi berubah secara mendadak selepas kematian ayah kerana umi terpaksa berhempas pulas mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak. Alhamdulillah semua anak-anak umi berjaya dan Allah telah memurahkan rezeki mereka kerana semua anak umi mendapat biasiswa untuk menanggung pelajaran mereka ke luar negara.

Safuan, anak sulung umi baru sahaja menamatkan pengajian masternya di Amerika Syarikat sebulan yang lalu, Syahrul anak kedua pula sudah pun bekerja sebagai arkitek di ibu kota setahun yang lalu selepas tamat belajar di United Kingdom, Shahizan anak ketiganya masih menuntut di Ireland dalam jurusan perubatan dan Sarah anak bongsu pula berada di Mesir dalam bidang yang sama. Tiada perkara yang menggembirkan hati umi melainkan melihat anak-anaknya berjaya dalam bidang masing-masing serta menjadi anak yang soleh dan solehah. Itulah doa yang seringkali umi panjatkan kepada Allah setiap kali selepas solat. Anak yang soleh dan solehah itulah harta yang sangat berharga buat umi dan arwah ayah kerana merekalah yang akan membantu umi dan ayah di akhirat kelak.

.........................................................................................................

Sejadah dilipat kemas lalu diletakkan di rak yang telah disediakan dalam bilik tersebut. Al Quran dicapai dari rak buku lalu dibuka. Dingin pagi terasa menusuk ke tulang sum-sum. Lunak suara Sarah mengalunkan kalamullah memecah kesunyian pagi yang hening. Usai solat subuh berjemaah bersama ahli rumahnya Sarah meluangkan sedikit masa membaca Al Quran dan terjemahannya. Surah Al-Furqan menjadi pilihan Sarah pagi itu. Sarah sangat tertarik dengan surah ini kerana dalamnya ada dinyatakan bagaimana ciri-ciri ibadurrahman (hamba Allah Yang Maha Pengasih).

Sarah teringat pesanan Syeikh Yusuf yang mengalakkan mereka yang hadir ke kelas beliau untuk menghayati ciri-ciri ibadurrahman yang ada dalam Surah Al-Furqan dari ayat 63 sehingga 74. Antara ciri-ciri yang disebut oleh Allah dalam surah ini ialah:
1)  Orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang bodoh menyapa mereka dengan kata-kata yang menghinakan mereka akan mengucapkan, " Salam."
2)  Orang yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada Tuhan mereka dengan bersujud dan berdiri.
3)  Orang yang berkata (berdoa), "Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab jahanam dari kami kerana sesungguhnya azabnya itu membuat kebinasaan yang kekal."
4)  Orang yang menginfakkan harta, mereka tidak berlebihan dan tidak pula kikir, di antara keduanya secara wajar.
5)  Orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan lain, tidak membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar dan tidak berzina.
6)   Orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan kebaikan.
7)  Orang yang tidak memberikan kesaksian palsu dan apabila bertemu dengan orang yang melakukan perbuatan tidak berfaedah meraka berlalu dengan menjaga kehormatan dirinya.
8)  Orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidak bersikap sebagai orang yang tuli dan buta.
9)  Orang yang berdoa, " Ya Tuhan kami anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa."

Selepas menghayati terjemahan Surah Al-Furqan dan selesai mengemaskan diri, Sarah menuju ke dapur untuk menyiapkan sarapan pagi untuk ahli rumahnya memandangkan pagi itu kuliahnya bermula agak lambat sedikit. Jadi apa salahnya masa sedikit sebelum kelas bermula diperuntukkan untuk menyediakan sarapan ala kadar untuk santapan bersama-sama ahli rumahnya yang lain.