Sunday, June 16, 2013

KiSaH kAu DaN aKu BeRBeza

Teman,
23 tahun lalu aku dilahirkan, bukan di hospital tapi di sebuah rumah kecil di sebuah kampung bernama Tanjung Belit atau dulu dikenali sebagai Kampung Labi Labi . Kau tahu teman kenapa diberi nama kampung Labi Labi? Aku rasa mungkin sebab kampung aku itu banyak labi labi. Kau mesti tak kenal bukan apa itu labi-labi. Mari aku khabarkan pada kau. Labi-labi adalah sejenis binatang 2 alam yang sudah pasti haram dimakan oleh umat Islam, hidupnya di paya-paya air tawar, rupanya seakan kura-kura tetapi mempunyai tempurung badan yang berlainan corak. Badannya tidak bercorak seperti kura-kura dan amat digemari oleh masyarakat Siam. Itu kisah kampungku yang aman damai penuh dengan flora dan fauna. Kampung la katakan.

Aku lahir disambut bidan kampung saja tapi Alhamdulillah aku sempurna saja tiada apa-apa kecacatan. Bidan kampung boleh jadi lebih terer dari jururawat di hospital. Kau tahu teman aku ni suka sekali menangis waktu kecik-kecik dulu. Entah genetik mana yang ada dalam tubuh badan ku ini membuatkan mata aku murah sekali dengan air mata. Tapi teman aku rasakan penyakit kemurahan air mata itu tidak dapat diubati sehingga aku dewasa.

Ini banglo aku dibesarkan
Kau tahu teman, kalau ada anak yang baru lahir orang kampung akan bertanya, " Mek ke wang?". Kau mesti tahu kan, mek tu maksud perempuan (tina) dan wang itu untuk lelaki. Jadi sejak kecik nama aku lekat sebagai MEK dalam keluargaku dan kampung itu. Dulu teman, aku amat membenci nama itu. Kuno! Nama orang tua-tua, aku sangat tidak suka malah aku malu dengan nama MEK itu. Sampaikan aku pernah cakap pada mak aku, " Jangan panggil cek mek kalu kawan cek telefon." Aku selalu fikir apa kejadahnya nama aku yang cantik yakni Badriyah dan diberi oleh Tok Guru Haji Salleh Pondok Sik ini tidak digunapakai sebaliknya diganti dengan MEK. Aku jahil rupanya teman sebabnya aku hanya tinggal di bawah tempurung daerah Sik tidak terdedah dengan dunia luar. Bila sudah dewasa baru aku tahu rupa masih ramai lagi orang yang namanya sama dengan aku terutama orang kelantan. Ada kawan aku namanya MEK TI, MEK SU, MEK LIN dan macam-macam mek lagi. Mek juga digunakan oleh orang kelantan sebagai panggilan kepada nenek.

Kau kenal binatang ini?
Umur 7 tahun aku mula bersekolah. Sekolahku yang pertama adalah PASTI Surau Kampung Tanjung Belit. Sungguh daif teman.  Kau pasti menangis jika melihat keadaan kelasku itu. Bumbung zinknya berlubang-lubang. Kalau musim hujan kami akan ke rumah ustazahku untuk belajar kerana kelasku pasti tidak boleh digunakan. Kapur-kapur pasti akan basah dan kembang selepas hujan. Paling aku suka kalau belajar di rumah ustazahku kami akan dihidangkan dengan cekodok dan air milo. Nikmat sungguh teman air milo di musim hujan. Kau tahu berapa yuran pengajianku sebulan? Hanya RM 10 sebulan teman tapi itu sudah cukup besar bagi orang kampung sepertiku.

Darjah satu aku ke Sekolah Kebangsaan Chepir. Sekolah kampung berusia berpuluh-puluh tahun penuh dengan misteri. Paling misteri sekali tandasnya. Kau tahu teman tandasnya tidak pernah dirobohkan sehingga sekarang dan ada tandasnya tidak boleh buka bertahun-tahun lamanya.  Apa lagi yang ada dalam pemikiran kanak-kanak pongoh seperti aku ketika itu melainkan ada hantu dalam tandas yang terkunci itu. Dari darjah satu sampai 6 aku paling tak suka waktu darjah 3. Kau tahu kenapa teman? Waktu aku darjah 1 aku ditempatkan dikelas tercorot sebab aku pelajar PASTI bukan PRA-SEKOLAH. Setiap tahun naik satu  kelas sampailah tahun 3 aku duduk di kelas yang paling pandai antara ketiga-tiga kelas itu. 3M itu kelas aku waktu darjah 3. Aku tidak pernah tahu apa dimaksudkan dengan abjad yang diwakili oleh setiap kelas, M, K dan T. Waktu darjah 3 ada seorang guru lelaki mengajar Bahasa Melayu tapi teman aku boleh bilang berapa banyak yang dia ajar dengan berapa banyak benda-benda mengarut yang dia buat pada kami ketika itu pada pandangan aku. Bukan aku nak memburukkan dia malah  aku sangat berterima kasih dengannya atas segala ilmu yang dicurahkan tetapi ada banyak benda yang aku tak boleh terima yang dia telah buat kepada kami.

Tahu buah ini apa teman?
Setiap kali kelasnya bermula kami akan beratur di luar kelas untuk masuk secara berpasangan lelaki dan perempuan dan masing-masing akan memegang hujung sebuah buku. Nasib baik bukan pegang tangan. Kami juga pernah disuruh lukis muka lelaki (kalau perempuan) dan perempuan (kalau lelaki) yang kita minat dan lukisan itu akan kami tunjuk pada orang yang kami lukis mukanya. Itu kelas bercinta aku rasa bukan kelas Bahasa Melayu. Bukan itu saja teman, cikgu itu akan memilih beberapa orang budak perempuan yang cantik dan akan dibuat undi siapa yang paling disukai oleh pelajar-pelajar lain. Aku sudah tentu tidak termasuk dalam golongan itu kerana rupa aku comot dan hitam, rupa tipikal kanak-kanak kampung yang buas (nakal). Dibuat juga dating antara pasangan di taman sekolah. Nasib aku agak baik teman mungkin sebab aku tergolong dalam kalangan budak hitam dan comot jadi aku tidak menjadi perhatian cikgu itu untuk dikenen-kenenkan dengan budak lelaki lain.

Banyak lagi benda yang cikgu itu yang aku tak boleh terima. Dan akhirnya cikgu itu ditukarkan ke tempat lain. Kau tahu kenapa? Sebab ada pelajar yang mengadu didenda dengan disumbat kertas di dalam mulut dan disuruh berdiri di atas meja  kepada mak ayah mereka. Apa lagi mak ayah pun datang ke sekolah bertemu dengan guru besar. Memang betul mereka kena denda sebegitu rupa tapi aku tak kena sebab aku tak bising ketika cikgu itu masuk ke kelas.  Mungkin aku bising tapi cikgu itu tak perasan. Beberapa tahun selepas itu aku dengar cikgu itu dibuang dari pekerjaan sebagai guru sebab perangainya itu.

Di sekolah, aku sangat nakal teman. Kelas kokurikulum petang pernah sahaja aku ponteng walaupun aku ketika itu adalah Ketua Pergerakan Tunas Puteri. Berlari-lari di tepi pagar sekolah dan pastinya cikgu nampak. Aku masih kurang bijak ketika itu teman. Yalah kanak-kanak polos, fikirannya tidaklah sejahat mana. Yang pasti aku tidak pernah memanjat pagar sekolah.

Waktu sekolah, aku sangat obses dengan sukan. Tidak ada sukan apa yang aku tidak pernah mencuba. Lari 100m, 200m, lompat tinggi, lompat jauh, merentas desa, bola jaring, kawad semua aku masuk teman. Itu sebab aku termasuk dalam kalangan budak comot dan hitam ditambah pula hari-hari aku bergelumang dengan sawah padi di tengah terik matahari. Itulah dunia aku ketika kecik teman. Aku bahagia dengan dunia itu. Dunia itulah membesarkan aku sehingga menjadi seperti sekarang.

Sawah padi

Pokok getah dan bau skrap yang busuk mencucuk hidung mancungmu itu juga permainan aku. Kau tahu setiap kali getah skrap kering dan boleh dikutip untuk dijual kepada peraih, ayah akan mengerahkan kami membantunya mengutip skrap yang busuk itu. Di kebun getah kau  bukan sahaja akan bergelumang dengan busuknya getah skrap tapi kau juga kena bermain dengan pacat dan nyamuk. Tapi itu bukan satu masalah bagi kami sebagai anak kampung. Selepas siap mengutip skrap aku pasti akan terbaring keletihan terjelepuk umpama kain buruk sampai kadang tertidur dalam kebusukan getah skrap.  Kau bisa hilang 2 3 kilo berat badanmu  itu teman.
Bila padi menguning 
Teman, ada satu benda yang aku kecewa ketika di alam sekolah rendah. Aku tidak dapat 5A dalam UPSR. Aku hanya dapat 4A 1B. Bukan aku seorang sahaja begitu juga dengan kawan-kawanku yang lain yang ditarget oleh cikgu untuk mendapat 5A. Maknanya pada tahun itu 1997 tidak ada seorang pun pelajar sekolah itu mendapat 5A. Kami menangis bagai nak gila aku rasa. Mungkin aku belum lagi merasa itu nikmat bersyukur ketika itu. Sudah la tidak dapat 5A aku juga tidak mendapat tawaran kemana-mana sekolah agama di negeri jelapang padi itu lantas aku terdampar di sekolah harian biasa yang pelajarnya bisa membuatkan kau sakit jiwa.

Tapi teman, semakin hari semakin aku cinta dengan sekolahku itu. Tingkatan 3 aku mendapat 9A dalam PMR 2005. Aku satu-satunya pelajar yang mendapat 9A setelah beberapa tahun sejak 2001 tidak ada pelajar yang mendapat 9A. Itu kebanggaan aku ketika itu. Bukan senang teman nak mencipta sejarah seperti itu. Sekali sekala bangga apa salahnya. Tingkatan 4 aku mendapat tawaran ke SBPIKP. Awalnya aku tidak mahu pindah sekolah tetapi setelah dipujuk oleh ayah akhirnya aku mengalah. Kali pertama aku keluar dari kepompong kehidupan kampung ke luar daerah Sik. Aku ingatkan sekolah baruku itu ditengah-tengah bandar yang sibuk tetapi rupa-rupanya di hujung dunia bersempadan dengan Thailand.

Hari pertama pendaftaran, kau tahu teman aku menangis sepanjang perjalanan ke sana. Kan sudah aku khabarkan pada kau penyakit kemurahan air mata aku datang lagi ketika itu. 2 jam perjalanan air mata aku tidak pertama kering ditambah pula dengan pesanan yang diungkapkan oleh kawan ayah Pak Ungku yang ikut serta menghantar aku ke sana.

Di SBPIKP aku bukanlah dalam kalangan pelajar yang menonjol. Dunia aku ketika itu hanyalah jalan tar sekolah dan perpustakaan. Kau tahu kenapa teman? Aku gila obses dengan sukan lari. Aku menyertai klinik larian dan jalan kaki. Kami diwajibkan setiap petang menghabiskan 3 pusingan sekolah termasuk asrama dan dewan makan. 5km setiap petang teman. Itu sebab aku boleh jadi juara merentas desa sekolah itu. Tapi teman aku menyertai klinik itu bukan sebab aku mahu berlari tapi aku mahu masuk acara jalan kaki ataupun walkathon. Jadi setiap petang aku bukan berlari tapi berjalan kaki. Kami berlatih sampai hampir dengan hari pertandingan walkathon peringkat daerah waktu aku tingkatan 5 tapi aku menarik diri di saat akhir. Bukan sebab aku tidak cinta dengan bidang itu tapi sebab ia melanggar prinsip aku. Kau pernah lihat pertandingan walkathon yang mana pesertanya memakai seluar yang longgar-longgar. Tidak pernah bukan? Itulah sebab utama aku tidak jadi masuk pertandingan walkathon walaupun Sensei (jurulatih kami) mensasarkan aku bakal bergelar juara kerana saingan yang tidak seberapa dalam bidang ini.

SBPIKP dalam kenangan...
Banyak kenangan aku di SBPIKP yang tak mampu aku coretkan di sini. Kenangan-kenangan itu sentiasa terpahat di memori hidup aku sampai mati. Aku belajar dari kehidupan sekeliling  menjadi dewasa. Dunia ini dijadikan untuk kau belajar darinya bukan.

Aku sekarang sudah dewasa teman, sudah bergelar mahasiswa tahun 5 jurusan perubatan di Universiti Kaherah bumi Nabi Musa a.s. Aku bukanlah lagi kanak-kanak hingusan yang hanya kenal dunianya sahaja. Aku sekarang melihat dunia luar yang pelbagai warna yang aku tidak pernah terfikir wujud dulu waktu zaman kanak-kanak. Kecintaan aku kini bukan lagi pada larian tapi kecintaan aku kepada Allah itu yang aku kejar sekarang. Tapi teman penyakit kemurahan air mataku itu tetap tidak dapat diubati sampai sekarang.

Teman, cerita ini bukan untuk dibangga-banggakan jauh sekali mencari populariti tapi kucoretkan secebis cerita itu sebagai perkongsiaan, dijadikan pengajaran bersama. Ini cuma kisah biasa, kisah anak kampung dan aku yakin hidup kau lebih berwarna-warni lagi dari aku.

Teman, ayuh kita fikir dan muhasabah selama berpuluh-puluh tahun kita hidup ini, apa yang telah kita lakukan untuk agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad kepada kita ini?


Teman, cerita kita mungkin tidak sama
Tapi kita tetap serupa
Kita tetap seorang hamba
Hanya satu membezakan kita
selamanya dan di sisiNYA
Iaitu TAKWA

Teman, tidak ada yang lebih berharga
Dalam kehidupan di dunia
Melainkan iman dan takwa
Menjadi bekalan utama
Sebuah perjalanan menuju akhirat sana

Teman, jangan mudah terpedaya
Dengan nikmat dunia sementara
Itu bisa menjadikan kau hamba yang alpa
Lalai lagi terlupa
Lantas tergelincir dari jalan cahaya
Jatuh ke lubang kelam dan gelita

Teman, teguhkan iman di dada
Dengan panduan dari RasulNYA
Sang kekasih yang amat dicinta
Agar kau terus di atas jalan cahaya
Menuju redha menggapai syurgaNYA

Teman, buktikan imanmu biar nyata
Bukan sekadar dengan kata-kata
Amal dengan anggota
Itu yang terutama....

Yang mengasihi kau kerana ALLAH,
Sibby badriy



2 comments:

  1. Anak kampung berhati waja.
    :)

    Alhamdulillah Allah temukan kita dari zaman INTEC, mengenali achik, melihat perubahan yang ada. Perubahan yang memang ke arah baik dan lagi hebat. Allah...

    Moga Allah mudahkan segala urusan achik, moga Allah terus kuatkan achik. Fighting!

    p.s : Ude pun anak kampung. Kampung Dewan Beta. =D

    ReplyDelete
  2. Anak Mak (yang dulu-dulu tu)June 17, 2013 at 7:45 AM

    "It takes both SUN and RAIN to make a RAINBOW."

    ps: terbaik! ;)

    ReplyDelete