Thursday, January 17, 2013

KasihMU III






" Assalamualaikum umi."

" Waalaikumussalam Sarah. Ya Allah lamanya umi tak dengar suara Sarah. Sarah sihat ka?"

" Alhamdulillah Sarah sihat, umi. Umi kat sana sihat tak? Umi, Sarah minta maaf sebab lama tak telefon umi."

" Umi sihat ja Sarah. Alhamdulillah. Sakit pening gitulah Sarah. Biasa la orang tua kan. Sarah sibuk ke sekarang? Kuliah kat sana ok tak?"

" Alhamdulillah umi. Semuanya ok ja. Sarah je yang bermasalah, tak pandai nak susun masa betul-betul. Cuma sekarang ni Sarah sibuk sikit sebab kena uruskan program hujung minggu ni. Umi, doakan Sarah tau."

" InsyaALLAH umi sentiasa mendoakan anak kesayangan umi ni. Sibuk-sibuk tu jangan lalaikan solat. Solat kena jaga betul-betul, jangan buat dekat akhir-akhir waktu."

" InsyaALLAH umi. Tapi umi kena doakan Sarah tau supaya Sarah sentiasa istiqamah dengan amalan kebaikan. Pesanan umi InsyaALLAH sentiasa dalam hati Sarah. Sarah dah simpan elok-elok kat dalam hati Sarah. Umi, Sarah ada satu cerita untuk umi ni. Umi nak dengar tak?"

Hampir sejam Sarah berbual dengan uminya petang tersebut. Sebagai anak bongsu Sarah sangat rapat dengan umi. Dia sangat suka bercerita segala perkara kepada uminya. Sejak kematian ayahnya 7 tahun lalu, Sarah telah banyak berubah. Daripada seorang anak gadis yang nakal dan lincah serta banyak melakukan masalah, dia kini sudah berubah 100%, menjadi gadis yang lebih baik dan aktif dalam aktiviti di kampusnya.

Menjadi anak yatim mengajar Sarah tentang erti sebuah pengorbanan. Umi, wanita cekal dan kental banyak berkorban untuk membesarkan dia dan 3 abangnya sejak kematian ayah. Dulu semasa ayah masih ada, umi cuma surirumah sepenuh masa. Tetapi hidup umi berubah secara mendadak selepas kematian ayah kerana umi terpaksa berhempas pulas mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak. Alhamdulillah semua anak-anak umi berjaya dan Allah telah memurahkan rezeki mereka kerana semua anak umi mendapat biasiswa untuk menanggung pelajaran mereka ke luar negara.

Safuan, anak sulung umi baru sahaja menamatkan pengajian masternya di Amerika Syarikat sebulan yang lalu, Syahrul anak kedua pula sudah pun bekerja sebagai arkitek di ibu kota setahun yang lalu selepas tamat belajar di United Kingdom, Shahizan anak ketiganya masih menuntut di Ireland dalam jurusan perubatan dan Sarah anak bongsu pula berada di Mesir dalam bidang yang sama. Tiada perkara yang menggembirkan hati umi melainkan melihat anak-anaknya berjaya dalam bidang masing-masing serta menjadi anak yang soleh dan solehah. Itulah doa yang seringkali umi panjatkan kepada Allah setiap kali selepas solat. Anak yang soleh dan solehah itulah harta yang sangat berharga buat umi dan arwah ayah kerana merekalah yang akan membantu umi dan ayah di akhirat kelak.

.........................................................................................................

Sejadah dilipat kemas lalu diletakkan di rak yang telah disediakan dalam bilik tersebut. Al Quran dicapai dari rak buku lalu dibuka. Dingin pagi terasa menusuk ke tulang sum-sum. Lunak suara Sarah mengalunkan kalamullah memecah kesunyian pagi yang hening. Usai solat subuh berjemaah bersama ahli rumahnya Sarah meluangkan sedikit masa membaca Al Quran dan terjemahannya. Surah Al-Furqan menjadi pilihan Sarah pagi itu. Sarah sangat tertarik dengan surah ini kerana dalamnya ada dinyatakan bagaimana ciri-ciri ibadurrahman (hamba Allah Yang Maha Pengasih).

Sarah teringat pesanan Syeikh Yusuf yang mengalakkan mereka yang hadir ke kelas beliau untuk menghayati ciri-ciri ibadurrahman yang ada dalam Surah Al-Furqan dari ayat 63 sehingga 74. Antara ciri-ciri yang disebut oleh Allah dalam surah ini ialah:
1)  Orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang bodoh menyapa mereka dengan kata-kata yang menghinakan mereka akan mengucapkan, " Salam."
2)  Orang yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada Tuhan mereka dengan bersujud dan berdiri.
3)  Orang yang berkata (berdoa), "Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab jahanam dari kami kerana sesungguhnya azabnya itu membuat kebinasaan yang kekal."
4)  Orang yang menginfakkan harta, mereka tidak berlebihan dan tidak pula kikir, di antara keduanya secara wajar.
5)  Orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan lain, tidak membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar dan tidak berzina.
6)   Orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan kebaikan.
7)  Orang yang tidak memberikan kesaksian palsu dan apabila bertemu dengan orang yang melakukan perbuatan tidak berfaedah meraka berlalu dengan menjaga kehormatan dirinya.
8)  Orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidak bersikap sebagai orang yang tuli dan buta.
9)  Orang yang berdoa, " Ya Tuhan kami anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa."

Selepas menghayati terjemahan Surah Al-Furqan dan selesai mengemaskan diri, Sarah menuju ke dapur untuk menyiapkan sarapan pagi untuk ahli rumahnya memandangkan pagi itu kuliahnya bermula agak lambat sedikit. Jadi apa salahnya masa sedikit sebelum kelas bermula diperuntukkan untuk menyediakan sarapan ala kadar untuk santapan bersama-sama ahli rumahnya yang lain.




2 comments: